Pelakon Rita Rudaini berkata dia tidak akan teragak-agak mendedahkan wajah guru yang didakwa menyebarkan fitnah mengenai dirinya.
Menerusi perkongsian di Insta Story, Rita berkata selagi guru berkenaan tidak memohon maaf dia akan mendedahkan sedikit demi sedikit ‘hint’ mengenai individu tersebut.
BACA: Hantar Anak Sekolah Kerajaan, Rita Rudaini Bengang Dituduh Ambil Hak B40
“Selagi awak tak hubungi untuk mohon maaf, saya akan buka sikit-sikit klu. Mana maruah awak sebagai seorang pendidik? Bertudung, mengajar tempat mulia tapi kaki mengumpat dan fitnah. Awak tutup aurat tapi lupa tutup mulut.
“Lepas cuti sekolah cikgu hubungi saya. Kita borak-borak sebelum saya nekad tampal muka cikgu di media,” tulisnya.
Difahamkan, guru berkenaan berkhidmat di sekolah tempat anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin belajar sebelum ini namun tidak pernah mengajar anaknya.
Sementara itu, Rita turut meluahkan rasa kesal mengapa dia difitnah sedemikian sedangkan tidak pernah kenal, malah anaknya juga tidak pernah membuat hal.
“Dengarnya cikgu ini selalu membawang fasal anak saya juga. Tetapi peliknya dia tidak pernah mengajar anak saya. Kenapa berhati busuk dengan saya? Kami tidak pernah kenal, bersembang atau bersua muka tetapi lagak cikgu seperti paling tahu cerita dalam kain saya.
“Apa dosa saya sampai sanggup aib dan fitnah saya dekat kawan-kawan cikgu? Saya tak pernah buat hal kepada mana-mana guru atau sekolah. Anak saya pun tak pernah buat hal. Pertama kali dalam hidup hadap cikgu toksik begini,” tulisnya.
Dalam pada itu, Rita menegaskan perkongsiannya itu ditujukan kepada guru berkenaan sahaja dan tidak melibatkan pihak lain.
“Saya bercerita fasal seorang guru ini sahaja yang dah buat onar cemarkan nama guru-guru lain. Saya pun masih ada kenalan guru di sana yang masih kekalkan silaturahim,” tulisnya.
Sebelum ini Rita meluahkan rasa berang apabila dituduh cuba mengambil hak golongan kurang berkemampuan dengan menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan ditanggung kerajaan.