fbpx

Rita Rudaini Rimas Orang Sekeliling Sibuk Tanya Anak-Anak Tentang Bapa

Pelakon Rita Rudaini berkata dia mengakui rimas apabila sering ditanyakan soalan mengenai bekas suami, Aidil Zafuan sedangkan mereka sudah lama berpisah.

Memetik mStar Online, Rita berkata dia masih belum terbuka untuk menerima kehadiran lelaki untuk menjadi pasangan hidup kerana mahu memberi fokus untuk membesarkan anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

BACA: Rita Rudaini Ingatkan Bekas Suami, Jangan Berangan Nak Jumpa Anak

“Walaupun dalam hati saya kata tak mahu berkahwin tapi soal jodoh tu tak boleh cakap apa kan, tapi ini cara saya healing buat diri sendiri apabila dengan anak kehidupan lebih bahagia.

“Sebab dapat fokus kepada mereka dan mahu kasih sayang tu 100 peratus malah tak mahu kongsikan kepada pasangan baharu, untuk kebahagiaan diri mungkin tiada apa lagi cuma saya perlu korbankan buat anak-anak sebab mereka adalah generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Rita berkata dia juga kurang selesa apabila orang sekeliling bertanyakan anak-anak tentang bapa mereka kerana jika mereka mahu tahu tanya pada dirinya.

“Pada orang ramai, tak perlulah ganggu emosi anak-anak. Diaorang masih budak-budak. Kalau nak sangat tanya, meh sini tanya saya.

“Bila dah tak ada tu maknanya tak ada lah. Jangan tanya-tanya. Tak habis-habis, sampai bila ni. Umur saya dah 48, dah bertahun bercerai,” katanya.

Dalam pada itu, Rita berkata dia sama sekali tidak berharap lelaki itu melawat anaknya kerana sepatutnya bapa mereka datang ketika anak-anaknya masih kecil lagi.

“Tak pernah berharap dia datang melawat dan saya rasa tak apa sebab anak pun sudah besar, kalau nak datang untuk apa? Patutnya datang daripada waktu kecil masa saya susah payah besarkan mereka bukannya sekarang,” katanya.