fbpx

Reda Bermadu, Ezlynn Dedah Suami Kahwin Lagi Pada Mac Tahun Lalu

Penyanyi Ezlynn mendedahkan dirinya kini bermadu apabila suaminya, Wan Mohd Hafizam mendirikan rumah tangga lagi dengan seorang doktor berusia 26 tahun di Perlis pada Mac tahun lalu.

Memetik Harian Metro, Ezlynn berkata suaminya telah menceraikan dua isterinya sebelum ini sekaligus status Ezlynn kini berubah kepada isteri pertama.

BACA: Ezlynn Terkejut Ramai Nak Jadi Calon Madu

“Kalau ikutkan saya yang keluarkan kenyataan nak carikan madu untuk suami tapi tak jumpa calonnya. Dia akhirnya cari sendiri dan bagi saya baguslah kerana kena dengan cita rasanya.

“Kami dah dipertemukan oleh suami semasa sesi taaruf (berkenalan). Saya letakkan syarat kepada suami supaya jangan halang aktiviti saya di media sosial kerana ia adalah platform untuk berniaga dan sebagainya. Orang suka tengok aktiviti dan peribadi artis di situ. Suami boleh terima permintaan ini,” katanya.

Menurut Ezlynn lagi, dia mahu mencari isteri baru untuk suaminya lagi untuk mencukupkan empat sebagai saham akhirat buatnya.

“Rasional saya carikan isteri untuk suami ialah saya seorang yang sibuk dengan kerja. Pergi ‘travel’ lama-lama rasa tak senang hati dan tak boleh duduk diam.

“Sekurang-kurangnya ada seorang isteri yang jaga senang juga, saya boleh fokus pada kerja. Dari dia buat tak elok baiklah kahwin. Kita pun dapat berkat, pahala dan rezeki.

“Tak dinafikan ada wanita yang marahkan saya tapi saya cakap suami bukan milik saya sahaja. Ia hak dan milik Allah. Kalau benda ini boleh mengharmonikan, bagus. Kalau tak sesuai carilah solusi lain yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Ezlynn turut berkongsikan dia mendengar ceramah agama yang menyentuh hatinya sekaligus dia membuat keputusan untuk berpoligami.

“Kata ustaz, wanita nak masuk syurga senang saja iaitu dengan jadi isteri yang taat. Itu yang saya buat keputusan ini termasuk berpoligami. Tapi poligami bukan untuk semua wanita. Kalau isteri tak boleh terima, janganlah kerana akan jadi mental pada isteri dan anak.

“Saya tetapkan pada suami agar buat penggiliran pada kami berdua setiap tujuh hari. Ikutkan tiga hari penggiliran tapi kasihan pula kerana madu saya tinggal di Perlis.

“Insya-Allah saya akan pindah ke Changlun, Kedah apabila semua urusan membabitkan rumah dengan bekas suami selesai,” katanya.

SUMBER: Harian Metro