fbpx

Rancakkan Ekonomi, Sempadan Asean Mungkin Dibuka

Usaha merancakkan ekonomi dan rangsangan kewangan memungkinkan sempadan negara-negara ASEAN yang kini ditutup dibuka dalam masa terdekat.

Perkara itu dibangkitkan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang berlangsung secara maya hari ini, antara lain bagi merancakkan kembali aktiviti perdagangan dan pelancongan antara-ASEAN selepas penularan wabak COVID-19.

Pada Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata untuk itu, kerajaan-kerajaan ASEAN perlu merangka satu pelan yang padu bagi melaksanakan segera langkah-langkah atau ‘travel bubles’ antara negara yang ‘hijau’ atau kadar jangkitan yang rendah di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Langkah ini mampu meningkatkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan, sekaligus merancakkan dan menyediakan rangsangan kewangan yang amat diperlukan oleh ekonomi.

Menurut Muhyiddin, krisis kesihatan awam itu telah memberi kesan yang amat besar kepada ekonomi dan usaha memulihkan semula ekonomi serantau harus menjadi keutamaan ASEAN.

“Ini akan membantu dalam usaha mengurangkan gangguan kepada perdagangan dan mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan serantau,” katanya semasa intervensi pada sesi plenari yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc yang juga merupakan Pengerusi ASEAN 2020.

Perdana Menteri berkata ASEAN perlu bertindak pantas dan tegas dalam menyelaraskan tindak balas peringkat serantau bagi menjana semula ekonomi.

Muhyiddin berkata tindak balas yang diselaraskan dengan baik mampu memastikan rantau ASEAN bangkit bersama-sama daripada krisis itu, sebagai ketika mengharungi krisis pandemik itu sebelum ini.