Pengurus kepada pelakon Remy Ishak iaitu Azlin Abad menolak dakwaan bahawa aktor itu dianugerahkan gelaran Datuk selepas membawakan watak Hang Tuah di sebuah pementasan teater di Melaka tahun lalu.
Memetik Utusan, Azlin berkata anugerah tersebut diberikan kepada pelakon itu yang sudah bekerja keras sebagai anak seni sejak 20 tahun lalu.
BACA: Remy Ishak Kini Bergelar Datuk
“Saya rasa hanya kebetulan sahaja Remy pernah menjayakan watak Hang Tuah dalam sebuah pementasan teater di Melaka Julai tahun lalu.
“Itu bukan satu-satunya sebab mengapa dia diberikan penganugerahan. Remy anak jati Melaka dan penganugerahan ini daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam dan Kerajaan Negeri Melaka.
“Ada yang kata Remy tak layak dan apa sumbangan dia dan sebagainya. Kalau tanya kami, memang tiada jawapan dan mungkin boleh tanya pihak yang memberikan penganugerahan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Azlin berkata Remy sudah lama berkecimpung dalam industri seni tanah air dan sumbangannya adalah lebih tertumpu kepada cabang seni kreatif, serta ada sumbangannya yang ditidak didendang.
“Saya sedia maklum ramai yang perli, mempertikai dan mensensasikan isu Remy diianugerahkan gelaran Datuk. Rezeki sudah tertulis buatnya dan kita teruskan sahaja kehidupan seperti biasa.
“Mungkin orang hanya nampak Remy sebagai seorang pelakon dan ada kejayaan yang diraihnya di luar bidang seni tidak didendang kepada umum. Kita doakan sahaja yang baik-baik dan lihat apa yang diraih (Remy) dari sudut yang positif,” katanya.
SUMBER: Utusan