fbpx

Seperti yang anda tahu, baru-baru ini kecoh berkenaan satu isu melibatkan seorang guru, Cikgu Fadli Salleh yang dikenakan tindakan tatatertib hanya kerana memberikan kritikan dan pandangan terhadap silibus pelajaran di Malaysia.

Ramai pihak yang tidak berpuas hati malah ada juga yang mempertikaikan kenapa tindakan sedemikian diambil sedangkan Cikgu Fadli Salleh hanya mahu melihat penambahbaikan dalam sistem pelajaran anak-anak Malaysia.

Tetapi kes ini sudah pun selesai pada Selasa lalu apabila Cikgu Fadli Salleh didapati tidak bersalah oleh Lembaga Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Silibus Pelajaran Tidak boleh Ditukar Segera

Dalam pada masa yang sama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin turut mengambil maklum mengenai isu ini. Beliau ada menjelaskan bahawa terdapat dua faktor yang menyebabkan silibus pelajaran di sekolah tidak boleh ditukar dalam kadar segera ketika ditemubual Awani baru-baru ini.

Faktor Pertama

Pertama, sesuatu silibus itu harus dilengkapkan kitarannya yakni pelajar harus mengharunginya dari mula memasuki sekolah hingga tamat di darjah atau tingkatan penghabisan.

Jelasnya, murid Tahun Satu pada 2017 merupakan kohort pertama yang menggunakan silibus yang ada hari ini, sementara murid Tahun lain masih memakai silibus lama kerana ia perlu dilengkapkan perjalanannya hingga Tahun Enam.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan silibus ini mengambil masa, perjalanannya itu ada pusingan dan silibus yang anda lihat hari ini telah mula digunakan pada 2017.

“Itulah kali pertama ia digunakan sehinggalah hari ini, mereka yang Darjah Satu pada 2017 itu sudah Darjah Enam pada tahun ini, dan mereka yang Darjah Satu pada 2018 sekarang sudah Darjah Lima.”

Faktor Kedua

Hal ini juga membawa kepada faktor kedua iaitu sebarang silibus tidak boleh diubah di pertengahan jalan kerana ia akan menggangu seluruh aturan sistem itu.

Maksudnya, untuk memperkenalkan silibus yang baharu, perlu ditunggu hingga seluruh kohort yang menggunakan silibus lama selesai perjalanannya hingga Darjah Enam dahulu.

“Maka kita perlukan penelitian yang mendalam, kita sedar daripada maklum balas daripada ibu bapa yang menceritakan bahawa silibus hari ini dilihat agak sukar berbanding dengan yang dahulu dan kita ambil kira.

“Kerana dalam konteks ini, satu kohort (Tahun Satu 2017) sudah tamat kitarannya dan inilah ruang terbaik untuk kita lihat kembali silibus tersebut,” jelas beliau.

Jadi, kami harap segala persoalan anda terjawab sudah. Ada sebabnya pihak KPM tidak terus segera menukar silibus di sekolah kerana banyak perkara yang perlu dilihat dan dikaji terlebih dahulu. Nak kan perubahan tu bukannya tak boleh, tapi perlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.