Pendakwah Ustaz Ahmad Dasuki berkata bulan Ramadan umat Islam tidak sepatutnya bercerai-berai dan mengelak daripada melakukan sebarang dosa.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ustaz Dasuki berkata di bulan mulia ini sepatutnya dijadikan bulan memohon keampunan.
BACA: Bella Astillah Tak Sangka Aliff Aziz Enggan Cerai
Tambahnya lagi, golongan suami seharusnya membawa dan membimbing rumah tangga mereka ke jalan Allah, bukannya memusnahkan ia dengan melakukan perkara maksiat.
“Khabarkan kepada semua mukmin dan mukminah, Ramadan bukan bulan perceraian dan melakukan dosa.
“Ramadhan Allah jadikan bulan keampunan dan maghfirahnya yang terlalu luas. Khabarkan lagi kepada para suami, bawalah rumah tangga kalian ke syuga Allah, bukan menghancur dan memusnahkan rumah tangga dengan kemaksiatan yang menghilangkan keberkatan,” tulisnya.
Sementara itu, para isteri juga dinasihati untuk menutup aib rumah tangga mereka daripada didedahkan kepada orang luar.
“Khabarkan kepada setiap isteri mukminah, tutuplah aib rumah tangga kalian daripada terbuka dan di dedah dalam kalangan masyarakat awam.
“Allah membuka jalan perdamaian dengan kedua-dua bertaubat dan kembali kepada Allah. Cintailah Allah, rumah tangga kita selamat,” tulisnya.
Dalam perkongsian itu, Ustaz Dasuki turut memuat naik paparan berita mengenai pelakon Bella Astillah yang terkejut apabila suaminya penyanyi Aliff Aziz enggan menceraikannya hari ini.