fbpx

Rakyat Sambut Baik Usaha KPM Naikkan Kadar RMT Hingga RM4

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi pembentangan Bajet 2023 baru baru ini mengumumkan yang kadar untuk makanan bermasak program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 bagi Semenanjung Malaysia.

Kadar berkenaan juga dinaikkan daripada RM3 kepada RM4 bagi pelaksanaan RMT di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Radzi Jidin meluahkan rasa bersyukur usaha KPM untuk menaikkan kadar RMT untuk pelajar seluruh Malaysia sudah diluluskan dan berharap ianya akan memberi manfaat kepada 813,393 orang murid penerima RMT.

Rata-rata netizen memberikan maklum balas yang baik terhadap kenaikan kadar RMT ini dan berharap ianya akan memberikan lebih banyak pilihan makanan yang berkhasiat kepada murid penerima RMT.

“Tahniah YB dan KPM, alhamdulillah rezeki (untuk) anak anak,” tulis Izwann Fauzan menerusi Facebook baru baru ini.

Ada juga pengusaha kantin sekolah meluahkan rasa bersyukur dengan kenaikan ini kerana mereka boleh memberikan kualiti makanan yang lebih baik kepada murid terlibat.

“Alhamdulillah, saya sebagau pengusaha kantik jujur saya katakan selama ini RM2.50 jarang balik modal. Tak sampai hati nak kurangkan portion dan kualiti — RM3.50 dapat bernafas dan boleh bagi murid ayam besar lagi,” luah Farouq Hassan dengan kenaikan kadar RMT ini.