fbpx

Rabecca Nur Al Islam: Jangan Fitnah Saya Tidak Berdisiplin

Pelakon Rabecca Nur Al-Islam mendesak supaya penerbit dan juga pengarah Erma Fatima supaya berhenti dari terus memfitnah dirinya sama ada menerusi kenyataan dalam mana-mana akhbar juga di laman sosial seperti laman Twitter, Facebook dan Instagram.

“Tujuan saya mengadakan sidang media hari ini bertujuan meminta pihak di sebelah sana diam dan jangan fitnah saya tentang isu disiplin sebab perbuatan itu bagai membuang pasir di dalam periuk nasi saya,” ujar beliau semalam.

“Kalau betul saya ada masalah disiplin, masakan saya boleh bertahan selama 10 tahun dalam industri. Saya pernah menjadi artis residen MIG selama tiga tahun. Saya juga pernah ditawarkan menjadi artis residen Skop Production cuma ketika itu saya terpaksa menarik diri kerana saya berkahwin”

“Jadi saya nak pihak di sana diam dan pihak saya juga selepas ini akan berdiam. dan pihak beliau menghormati keputusan mahkamah”, kata Rebbeca sekaligus menegaskan yang dia tidak akan membuat sebarang kenyataan yang berkaitan isu ini lagi”

Rabbeca Nur Al Islam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas bertempat di Harrods, KLCC, petang semalam.

Pada 8 November lalu Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap penerbit dan pengarah drama Erma Fatima ekoran perlanggaran kontrak. Mahkamah Tinggi memutuskan Erma perlu melunaskan baki bayaran lakonan kepada Rebbeca sebanyak 40 peratus iaitu bernilai RM11,200.

Konflik antara Rabecca dengan Erma tercetus apabila pengarah itu enggan menjelaskan baki bayaran tersebut dan telah mematikan watak Rabeeca dalam drama bersiri Dejavu di Kinabalu pada episod ke 17 daripada 28 episod tanpa berbincang dengan pelakon itu.

Tambah Rabbeca lagi, sebelum ini dia pernah berusaha untuk berbincang dengan Erma sebelum membawa kes ini ke mahkamah namun segala usahanya sia-sia.

“Perkara ni sebenarnya saya tidak akan bawa ke mahkamah kalau ia boleh dibincangkan. Sebelum ini saya cuba menghantar pesanan ringkas, saya BBM sehingga dia buang saya dari BBM beliau. Saya juga cuba mendapatkan pihak beliau namun gagal”

“Sebelum itu saya juga meminta bantuan dari Persatuan Seniman tetapi tidak ada apa-apa tindakan daripada pihak persatuan. Mahkamah adalah jalan terakhir saya”, ujarnya.

Dalam pada itu Rabecca tidak kisah sekiranya Erma mahu membuat rayuan atau meneruskan hasratnya ke Mahkamah Tinggi sekiranya beliau masih lagi tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

“Saya harap cukuplah segalanya. Kalau pihak beliau tidak berpuas hati pada saya beliau boleh teruskan nak ambil tindakan di Mahkamah Tinggi. Senang saja, jika tidak puas hati atau enggan membayar, buat saja rayuan di mahkamah.

“Tidak perlu memburukkan saya di laman sosial. Sekiranya dia masih lagi memfitnah, saya akan merujuk kepada peguam saya dan teragak-agak mengambil tindakan selanjutnya,” tegas Rabecca lagi sebelum menamatkan sidang media. (rtky/fr)