Pelakon Puteri Sarah meluahkan rasa syukur selepas menang kes saman fitnah terhadap bekas pekerjanya iaitu Nazatul Nazira Zainol Abidin.
Memetik Harian Metro, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat lalu mengarahkan bekas pekerja aktres itu membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kerana hantaran fitnah dalam platform stories di Instagram (IG) dan WhatsApp pada tahun lalu.
BACA: Puteri Sarah Pinjamkan ‘Bodyguard’ Teman Bella Astillah Demi Keselamatan
Sementara itu, Puteri Sarah turut meluahkan rasa lega kes yang berlaku pada tahun 2023 itu akhirnya selesai.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat lega dan bersyukur dengan kemenangan ini kerana ia membabitkan maruah saya, ‘bisnes partner’ (rakan kongsi) dan bisnes saya sekarang.
“Saya berasa lega sebab benda ini berlaku pada 2023 dan saya mula ‘take action’ (mengambil tindakan) pada 2024 serta masuk mahkamah pada 2025 dan akhirnya berjaya diselesaikan pada tahun ini.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan ahli keluarga serta orang terdekat yang sentiasa di sisi dan tidak pernah lupa berdoa untuk saya, sepanjang kes ini,” katanya.
Selain ganti rugi, Nazatul diperintahkan untuk membayar kos perbicaraan sebanyak RM30,000 kepada Puteri Sarah selain faedah pada kadar 5 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman.
SUMBER: Harian Metro