PU Azman Dipenjara Lagi 6 Tahun, Satu Sebatan

Pendakwah selebriti, PU Azman dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan, selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pada tujuh tahun lalu.

Memetik Sinar Harian, ini merupakan kali keempat dia dijatuhi hukuman penjara selepas Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan, Mahkamah Sesyen Klang (24 tahun penjara dan dua sebatan) manakala Mahkamah Majistret Klang (penjara 14 bulan).

BACA: Amang Seksual: PU Azman Dipenjara 7 Tahun, 2 Sebatan

Mahkamah memerintahkan pendakwah berusia 43 tahun itu  menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula Isnin. Tertuduh juga dikehendaki menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan pertuduhan kedua yang dihadapi PU Azman sebagai ‘Take Into Consideration’ (TIC) mengikut 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Ia selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan pasukan pembelaan pada Oktober lalu.

Pada tahun 2022, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bilik sebuah rumah inap desa, di Jalan Kebun jam 12 tengah malam dan 5.30 pagi, September 2017.

Semasa kejadian, tertuduh mengajak mangsa dan rakan-rakannya melepak di sebuah rumah inap desa. Pada jam 12 tengah malam, tertuduh mempelawa mangsa tidur manakala rakan lain pulang ke rumah masing-masing. Tertuduh kemudiannya masuk ke bilik mangsa dan melakukan kesalahan berkenaan.

SUMBER: Sinar Harian

×