fbpx

PU Azman Berdepan Empat Lagi Pertuduhan Seksual

Penceramah selebriti, PU Azman dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk berdepan empat lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap tiga orang remaja.

Memetik Utusan Online, PU Azman bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan pertama dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Syafeera Mohd. Said dan satu di hadapan Majistret, Amirul Asyraf Abd. Rasid.

BACA: Ramai Tampil Bersuara, Mangsa Dakwa PU Azman Ajak Tidur Berdua

Di Mahkamah Sesyen, PU Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal dekat sebuah inap desa di Sungai Udang di sini terhadap seorang remaja berusia 16 tahun pada 20 Februari lalu.

Tertuduh kemudian didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi tersebut pada 29 Jun lalu ketika remaja terbabit berusia 17 tahun.

Untuk pertuduhan ketiga, PU Azman didakwa menggalakkan seorang remaja lain berusia 17 tahun untuk berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp dekat sebuah rumah di Meru, Klang pada 16 Ogos tahun ini.

PU Amzan didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat sekiranya disabitkan bersalah.

Bagi kesalahan komunikasi seksual pula, pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 11(1)(b) akta sama yang boleh mengakibatkan penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, Azman Syah dituduh melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan menyentuh kemaluan seorang remaja berusia 19 tahun pada 10 Jun lalu dekat sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, Klang.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan.

PU Azman dibenarkan diikat jamin sebanyak RM24,000 bagi kesemua pertuduhan dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.