Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) diperkenalkan sebagai inisiatif strategik untuk memastikan komunikasi kekal berfungsi ketika bencana dan kecemasan, khususnya di kawasan yang terjejas liputan atau sukar diakses.
Menerusi pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron, PRIME berfungsi sebagai sistem komunikasi interim yang menyokong operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat secara berkesan bersama agensi-agensi berkaitan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, sistem berasaskan kenderaan itu direka bagi memastikan sambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai apabila rangkaian komunikasi sedia ada terganggu atau terhad.
Katanya, ia selari dengan slogan PRIME iaitu “Ketersambungan Tanpa Batasan”.
“PRIME berkeupayaan memastikan ketersambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai ketika operasi bantuan terutamanya apabila liputan komunikasi rangkaian terestrial sedia ada terganggu atau terhad,” kata MCMC dalam kenyataan.

Majlis peluncuran PRIME
PRIME diperkenalkan dalam satu majlis di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
MCMC menjelaskan, pelaksanaan PRIME juga mampu memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dalam pengurusan bencana serta mempertingkat kecekapan tindak balas dan daya tahan komunikasi negara.
“PRIME berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi yang membolehkan operasi bantuan dijalankan tanpa bergantung sepenuhnya pada rangkaian terestrial,” katanya lagi.
Selain peranan semasa bencana, PRIME turut menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Fahmi Fadzil menyaksikan demonstrasi dron PRIME.
Ia berfungsi sebagai hab digital bergerak untuk demonstrasi perkhidmatan internet serta pelaksanaan aktiviti di lokasi tumpuan, jelas kenyataan itu.
Kata MCMC, inisiatif itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam membina ekosistem komunikasi yang lebih inklusif, responsif dan berdaya tahan di samping merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai permulaan, tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat. Unit pertama akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia.
“Dua lagi unit akan ditempatkan di Pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun ini,” katanya.