fbpx

PPZ-MAIWP Berjaya Kutip Zakat Lebih RM1 Bilion Pada Tahun 2023

Pada 16 Januari 2024 bertempat di Putrajaya, Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumumkan prestasi kutipan dan agihan zakat di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2023.

Sidang media disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar. Turut hadir Pengerusi MAIWP, YBhg. Tan Sri. Dr. Mohd. Daud Bakar serta Pengerusi PPZ-MAIWP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Kutipan zakat harta dan fitrah di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM1,035,822,412.22 iaitu peningkatan sebanyak 11% berbanding tahun 2022 iaitu sebanyak RM937,036,444.09.

Keseluruhan pembayar zakat turut meningkat sebanyak 1% iaitu seramai 1,851,852 orang berbanding tahun 2022 iaitu sebanyak 1,832,764 orang pembayar.

Daripada keseluruhan kutipan, Zakat Pendapatan telah menyumbang kutipan tertinggi sebanyak RM702 juta bersamaan dengan 68% daripada kutipan keseluruhan. Manakala kutipan kedua tertinggi adalah Zakat Perniagaan dengan kutipan sebanyak RM165 juta bersamaan 16% daripada kutipan keseluruhan. Baki 16% terdiri daripada Zakat Wang Simpanan, Zakat Harta, Zakat Fitrah, Qadha dan lain-lain.

Saluran bayaran melalui potongan gaji zakat menjadi pilihan utama pembayar diikuti saluran Kaunter PPZ-MAIWP, Portal PPZ-MAIWP dan Ejen.

Dalam ucapan YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata antara faktor menyumbang kepada kejayaan ini adalah pelaksanaan strategi pemasaran dan promosi yang berterusan serta kepelbagaian saluran bayaran zakat oleh PPZ-MAIWP bagi menarik minat dan memupuk kesedaran berzakat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Antaranya Kempen Mesra Majikan, Kempen Jom Potong, Kempen Jom Tambah, Kempen Jom Ulang dan Kempen Year End Zakat.

Selain itu, kepelbagaian saluran bayaran bagi memberi pilihan dan memudahkan pembayar seperti memperkenalkan bayaran zakat melalui Pusat Panggilan, Door to Door, Ride2U dan Kaunter Zakat Digital.

Skim Wakalah atau Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat melalui MAIWP dan Skim Kafalah Muzakki (sumbangan Khairat Kematian) yang ditawarkan kepada pembayar-pembayar zakat berjaya menarik minat pembayar baru dan pembayar sedia ada untuk mengekalkan dan menambah bayaran zakat mereka turut menyumbang kepada peningkatan.

Kepercayaan masyarakat terhadap agihan zakat yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga antara faktor peningkatan kutipan zakat pada tahun 2023.

Agihan zakat MAIWP melebihi RM950 juta kepada 8 golongan asnaf

Bagi tahun 2023, MAIWP telah mengagihkan RM952,272,327 dana zakat kepada lapan (8) golongan asnaf melalui pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan dalam bentuk Skim-skim Bantuan Zakat, Al-Wakalah, Institusi Pendidikan dan Kebajikan, Prasarana Umat Islam, Perbelanjaan Penyelenggaraan Prasarana dan Amil di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Berdasarkan jumlah agihan tersebut, MAIWP telah berjaya mengagihkan sebanyak 93% daripada jumlah kutipan yang diterima.

“Sepanjang 2023, MAIWP telah berjaya membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan sekaligus berjaya mengurangkan peratusan kemiskinan tegar sehingga hanya 8% sahaja baki yang masih perlu dibantu.”

Daripada jumlah keseluruhan agihan zakat, sebanyak RM598,945,310 telah diagihkan menerusi skim – skim bantuan yang terdiri daripada Kebajikan, Perlindungan, Ekonomi, Perubatan, Pendidikan dan Pembangunan Ummah.

Bertemakan “Empowering & Enterprising” (Pemerkasaan dan Pengupayaan) sosio-ekonomi ummah. MAIWP telah memperluaskan agihan zakat daripada 30 skim bantuan kepada 38 skim bantuan zakat meliputi kluster Kebajikan, Perlindungan, Ekonomi, Perubatan, Pendidikan Dan Pembangunan Ummah.

Fokus utama MAIWP adalah minal mustahik ila muzakki dengan program – program pemerkasaan asnaf melalui latihan kemahiran industri, agropreneur, usahawan asnaf melalui food truck dan program – program keusahawanan asnaf.

Dengan program – program yang dilaksanakan, seramai 814 usahawan asnaf telah berjaya membayar zakat.

MAIWP turut melaksanakan transformasi agihan zakat menerusi aplikasi dompet elektronik (e-wallet) untuk bantuan barangan keperluan asasi yang dikreditkan RM150 sebulan. Sejajar itu, MAIWP menaikkan kadar bantuan barangan keperluan asasi kepada RM300.00 bermula Januari 2024.

Sebagai tanda keprihatinan, MAIWP telah memperuntukan sebanyak RM41.4 juta dana zakat bagi Insentif Khas Kepada Golongan Asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan Tahun 2023.

Sementara itu, kutipan wakaf turut meningkat sebanyak 162% berbanding tahun 2022 iaitu sebanyak RM6,643,082.43 dengan jumlah pewakaf seramai 14,635 orang.

Bagi tahun 2024, PPZ-MAIWP mensasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf sebanyak RM1,125,200.00 dengan jumlah bilangan pembayar 1,961,400 orang. Melihat kepada kejayaan tahun lepas, PPZ-MAIWP optimis sasaran yang ditetapkan mampu dicapai.