fbpx

Siapa sangka, sebelumnya hanya bergerak dari rumah ke rumah untuk menjalankan perkhidmatan spa dan kecantikan ekoran kekurangan modal, namun kini impian seorang ibu muda di Papar Sabah ini untuk membuka pusat ekstetik tercapai.

Wanna menunjukkan bahan-bahan semulajadi yang digunakan dalam terapi urutan ditawarkan Aora Spa dan Wellness Papar.

Semuanya hasil bimbingan serta bantuan kewangan kerajaan melalui agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga beliau berupaya memiliki pusat spa dan kecantikan sendiri di bawah jenama Aora Spa dan Wellness yang terletak di Papar Square 8.

Berasal dari Kampung Bambangan, ibu kepada dua anak lelaki, Suzianna Mohd Ali, 36, yang lebih mesra dengan panggilan Wanna menceritakan detik bermulanya pembabitannya dalam bidang itu yang semuanya berkisar kepada minat dan kerja keras.

Salah seorang pelanggan mendapatkan rawatan terapi urutan daripada Wanna di Aora Spa dan Welleness Papar.

Katanya, semuanya bermula melalui penglibatan dalam banyak kursus kemahiran disediakan kerajaan melalui beberapa agensi bagi mendapatkan latihan Sijil Kemahiran Malaysia di bawah industri kesejahteraan dan kesihatan.

“Kerajaan melalui agensi seperti MARA menyediakan banyak kursus kemahiran yang bagi saya adalah satu peluang besar untuk meningkat sosio ekonomi diri dan keluarga bagi mencapai impian bergelar usahawan.

Dr. Abd Latiff (kanan) menandatangani buku kedatangan Aora Spa dan Wellness Papar sambil diperhatikan Wanna (kiri).

“Melalui kemahiran dimiliki, saya akhirnya bermula dengan perkhidmatan spa bergerak secara mobile dan ‘Home Spa’ selama empat tahun bermula 2016 hingga tahun lalu (2020) sebelum membuka pusat spa dan kecantikan sendiri pada awal bulan ini (Mac).

“Untuk Aora Spa dan Wellness ini, MARA menyediakan pembiayaan kewangan berjumlah RM100,000 termasuk geran pembangunan usahawan berjumlah RM40,000 dan wang saya sendiri RM30,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM170,000 untuk projek ini,” katanya.

Antara produk organik dan semulajadi yang digunakan dalam sesi urutan di pusat spa tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan kerja dan Perasmian Aora Spa dan Wellness Papar oleh Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Wanna (kanan) memberikan penerangan kepada Dr. Abd Latiff (kiri) tentang perkhidmatan ditawarkan Aora Spa dan Wellness Papar.

Wanna berkata, selain mempunyai tiga pekerja berkemahiran dalam bidang kecantikan dan kesihatan, perkhidmatan Aora Spa dan Wellness yang patuh syariah itu turut menawarkan urutan tulang belakang.

Wanna (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Abd Latiff (kanan) semasa lawatan kerja ke Aora Spa dan Wellness Papar.

Beliau sendiri katanya sendiri memiliki sijil pengiktirafan dan tauliah dalam urutan berkenaan yang akan memberi fokus terhadap masalah di bahagian tulang belakang hingga menyukarkan pergerakan fizikal.

Selain itu katanya, terdapat lima pakej perkhidmatan disediakan Aora Spa dan Wellness yang membabitkan penggunaan bahan-bahan organik dalam setiap sesi terapi sama ada urutan atau pun rawatan kecantikan.

Antara bilik terapi yang disediakan di Aora Spa dan Wellness Papar.

“Sudah tentu kami amat mementingkan kualiti melalui penggunaan bahan-bahan organik dalam setiap terapi yang ditawarkan bagi memastikan keselamatan serta rawatan diberikan memberi kesan positif kepada pelanggan.

“Sebagai contoh, terapi urutan dimulakan dengan cucian kaki menggunakan bahan-bahan semulajadi antaranya garam kasar khas yang telah dirukyah bertujuan membersihkan unsur-unsur negatif jika ada.

Wanna menunjukkan antara kemudahan terapi yang terdapat di pusat spa itu.

“Selain itu, limau nipis, daun pandan dan bedak sejuk turut digunakan dalam sesi terbabit yang akan dicuci dengan air sebelum terapi urutan kaki dimulakan yang sudah tentu memberi kesan positif kepada fizikal kita,” jelasnya.

Wanna memberitahu, susulan konsep patuh syariah diamalkan Aora Spa dan Wellness Papar, pusat itu bakal menerima sijil tauliah halal daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dalam masa terdekat.

Ketika ditanya apakah harapan beliau sebagai seorang usahawan, beliau menjelaskan perancangan susulan untuk membuka sekurang-kurangnya tiga lagi cawangan pusat kecantikan sama di beberapa kawasan di masa depan.

Kemudahan tab mandi untuk terapi mandian aura seperti mandi bunga dan susu turut disediakan di spa tersebut.

Pada masa sama, beliau juga ingin menyumbang kepada sosial masyarakat dengan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang ingin bekerja termasuk memiliki kemahiran dalam bidang estetik.

“Menjadi harapan saya selain membuka lebih banyak cawangan di masa depan, saya juga ingin beri peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat menceburi bidang ini sekaligus membantu mengurangkan pengangguran.

“Nasihat saya khususnya kepada belia supaya mengambil peluang di atas banyak kursus kemahiran disediakan kerajaan melalui banyak agensi antaranya MARA yang bukan saja akan membimbing tetapi juga menyediakan banyak kemudahan pembiayaan.

“Namun semua ini tidak ada gunanya jika tidak diselitkan dengan kerja keras, usaha dan minat kerana semua aspek ini penting sekiranya mahu berjaya dan selebihnya tawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr. Abd Latiff yang ditemui berkata, lawatan kerja itu bagi melihat sendiri usaha berterusan kerajaan di bawah kementeriannya dalam melahirkan ramai usahawan di negara ini.

Aora Spa dan Wellness Papar turut mempunyai kemudahan bilik sauna.

Katanya, terdapat banyak bidang kemahiran keusahawanan diwujudkan agensi di bawah KPLB yang tujuan utamanya untuk membangunkan usahawan agar lebih kondusif dan memenuhi keperluan industri semasa.

“Untuk Aora Spa dan Wellness Papar ini, pihak MARA akan sentiasa membimbing Puan Suzianna dalam semua aspek termasuk pemasaran jenama spa ini melalui digital yang kini berperanan besar bagi kejayaan setiap perniagaan.

“Justeru, saya yakin industri kesejahteraan dan kesihatan akan mempunyai nilai tambah memandangkan aspek ini sudah menjadi salah satu gaya hidup masyarakat kita sekaligus mampu meningkat permintaan dalam perkhidmatan ini,” katanya.

Aora Spa dan Wellness yang terletak di Lot 73A, Blok 12 (tingkat satu), Papar Square 8 mempunyai tiga bilik rawatan, empat katil urutan termasuk satu bilik mandian ‘aura’ dan sauna untuk pelanggan.

Wanna menunjukkan antara sijil kemahiran yang dimilikinya bagi mencapai impian bergelar salah seorang usahawan spa dan kecantikan di negeri ini.

Sesiapa yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkenaan khususnya warga setempat boleh menghubungi Puan Suzianna atau Wanna di talian 011-3142 9477.