fbpx

PM Umum Inisiatif Tambahan Khas KITA PRIHATIN Bernilai RM10 Bilion

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan inisiatif dan bantuan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion dalam usaha kerajaan meringankan beban rakyat.

Perdana Menteri berkata, Kita Prihatin merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta.

Kita Prihatin menyasarkan golongan B40, M40, pekerja dalam pelbagai bidang dan peniaga mikro.

Mengambil kira segala kesukaran yang masih dihadapi oleh rakyat, kerajaan membuat keputusan untuk menyediakan bantuan tambahan untuk rakyat melalui pemberian tunai tambahan di bawah BPN 2.0.

Kumpulan penerima pertama adalah isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000 sementara RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang.

Ketiga adalah 1.4 juta isi rumah M40 akan menerima RM600 sementara 1.7 juta kumpulan M40 bujang akan menerima RM300.

“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertama pada hujung Oktober dan keduanya pada Januari 2021. Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Okotber adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada Januari 2021 adalah sebanyak RM300,” katanya dalam perutusan khas itu yang disiarkan secara langsung hari ini.

Muhyiddin berkata, tiada permohonan perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0 dan kerajaan akan menyalurkan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.

Bagi membantu golongan majikan yang masih terjejas, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0 dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja.

“Ciri utama program ini ialah pertama, subsidi upah diberi kepada majikan yang masih terjejas iaitu syarikat yang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lalu.

“Kedua, subsidi upah diberi hingga tiga bulan kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja hingga maksimum 200 pekerja dan ketiga, permohonan dibuka bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2020,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga menerima pelbagai maklum balas berhubung Program Subsidi Upah antaranya daripada mereka yang tidak layak menerima program berkenaan kerana tidak menepati syarat kelayakan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum 1 April lalu.

Bagi memastikan golongan terbabit tidak ketinggalan, katanya, Program Subsidi Upah 2.0 akan dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan PERKESO hingga 31 Ogos lalu.

“Bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan di bawah Program Subsidi Upah, mereka akan layak menerima subsidi upah hingga enam bulan,” katanya.

Mengenai Geran Khas PRIHATIN (GKP), Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju membuka semula permohonan GKP bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober ini bagi memastikan lebih ramai peniaga mikro yang mendapatkan inisiatif terbabit.

Jelasnya, mengambil kira maklum balas diterima, GKP akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga 31 Ogos lalu.

“Pembukaan semula inisiatif GKP untuk permohonan baharu dijangka dapat memanfaat lebih daripada 20,000 peniaga mikro dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM600 juta.

“Bayaran GKP disasarkan akan dibuat bermula 25 November ini, ” katanya.