fbpx

“Pertama Kali Dengar Tangisan Anak, Saya Mengalirkan Air Mata”

Vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat meluahkan rasa syukur apabila isterinya selamat melahirkan cahaya mata lelaki, jam 9.09 pagi semalam.

Azmi berkaata dia dan isteri mengalirkan air mata sebaik sahaja mendengar tangisan anak mereka sebaik sahaja dilahirkan apatah lagi sudah 10 tahun mereka menantikan zuriat.

BACA: 10 Tahun Menanti, Azmi Saat Selamat Timang Anak Sulung

“Kali pertama kali mendengar tangisan bayi ketika dilahirkan, saya dan isteri mengalirkan air mata sebagai tanda syukur. Pastinya seronok melalui pengalaman yang berharga ini.

“Saya dan isteri menamakan anak sulung, Khairul Afnan, nama yang sudah disediakan sejak enam tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata dia sudah membuat persediaan bergelar bapa dan buat masa ini dia sendiri yang akan menguruskan isteri dan anak.

“Kebiasaannya dalam tempoh berpantang akan ada orang yang menjaga. Namun, dalam situasi sekarang, saya terpaksa ambil alih tugas ini dan menguruskan isteri dan anak sendiri.

“Saya juga akan meminta bantuan jiran tetangga. Tidak dinafikan, ini satu pengalaman baharu buat saya. Saya memang kena banyak belajar. Namun, saya sudah bersedia persiapan dari segi emosi,” katanya.

Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nazirah yang juga cacat penglihatan pada 2011. Pasangan itu akhirnya menimang cahaya mata sulung selepas 10 tahun menanti.