fbpx

Pernah Terlibat Ajaran Sesat, Pablo Amirul Mahu Fokus Ibadah

Pelakon Pablo Amirul berkongsikan keadaan mentalnya kini semakin pulih selepas kontroversi terjerumus dengan ajaran sesat sekitar dua tahun lalu.

Menerusi temu bual bersama Melodi, Pablo atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd Sakri berkata dia kini sedang berusaha perbaiki diri serta mendekatkan diri kepada Allah.

BACA: Peniaga Enggan Jual Kuih Sebab Muka Nampak Jahat, Pablo Amirul Hantar ‘Budak’ Borong Semua

“Alhamdulillah, selepas apa yang saya lalui sebelum ini sudah semakin pulih. Saya serahkan kepada orang di luar sana untuk menilai.

“Mungkin sebelum ini kecoh dengan isu ajaran sesat yang berkait dengan saya tetapi sekarang ini saya nak berikan fokus kepada ibadah saya dan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Ketika ini, saya hanya ikut apa yang wajib saja secara asasnya,” katanya.

Sementara itu, Pablo berkata dia berharap mereka diluar sana tidak mudah terpedaya dengan mana-mana ajaran yang boleh menyebabkan diri mereka terpesong.

“Cuma saya berharap orang di luar sana supaya tidak mudah terpesong dan tidak mudah menerima sesuatu yang di luar kemampuan serta yang jauh terpesong dari ajaran sebenar.

“Perubahan itu penting, tapi jangan lari dari landasan Islam. Kesilapan itu sudah pun dibuat dan tak ada apa yang boleh saya buat untuk sembunyikan benda itu.

“Cuma, jadikanlah itu sebagai peringatan dan tauladan buat semua orang di luar sana. Yang mana salah dan yang mana betul, tegur saya secara baik. Saya terima seadanya. Dan kalau korang di luar sana tak pernah pergi syurga dan neraka, jangan pernah menghukum saya. Itu semua kerja Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Pablo mengakui ada menerima ancaman daripada beberapa pihak sejak dia mendedahkan mengenai perkara itu di media sosial namun dia percaya ajal maut seseorang itu ditangan Allah.

SUMBER: Melodi