Sebut saja nama Ruhainies, pasti ramai tahu pelakon itu kerap berkongsikan majlis sambutan ulang tahun kelahirannya di media sosial. Ruhainies berkata dia tidak pernah mengambil hati apabila menggelarkan dirinya sebagai ‘queen of birthday’.

Memetik Media Hiburan, Ruhainies yang baru meyambut ulang tahun kelahiran ke-30 berkata sambutan banyak kali itu berlaku disebabkan jadual kerjanya yang tidak menentu sehingga ada sambutan yang terpaksa dianjakkan.

BACA: Ruhainies Manja, Mesra Dengan Pelakon Lelaki Sebab Kerja

“Sambutan nampak banyak kali kerana saya meraikannya bersama peminat, kawan-kawan dan juga dengan keluarga. Saya okay saja bila orang label saya sebagai ‘queen of birthday’. Malah waktu viral sebelum ini, saya perasan ada yang kata ‘hari jadi dia lagi dan lagi’.

“Sebabnya bila saya sibuk dengan komitmen kerja, rakan akan tunggu tarikh dan masa saya. Jadi, kalau sudah terlepas sekali pun, mereka tetap nak meraikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ruhainies mendedahkan dia pernah menerima lebih 20 biji kek sempena sambutan hari lahirkan beberapa tahun lalu.

“Tahun lepas waktu pandemik, saya tidaklah dapat banyak kek, dalam empat lima biji. Cuma beberapa tahun lalu, saya pernah terima lebih 20 biji kek. Alhamdulillah ramai yang sayang, saya percaya itu juga rezeki, amin,” katanya.

Sementara itu, Ruhainies berkata cabaran serta tanggungjawab menjadi lebih besar apabila dia sudah memasuki usia 30 tahun.

“Bila masuk ‘3 series’ ni, saya rasa komitmen itu menjadi lebih besar. Masih banyak yang belum dicapai. Tambah pula saya masih ada keluarga, ibu bapa.

“Bila kita sudah capai sesuatu, sudah tentu kita akan impi yang lebih lagi. Saya kalau boleh mahu perkasakan lagi bisnes sendiri. Sebelum ini saya banyak lakukan kolaborasi sahaja. Tetapi kali ini kalau boleh mahu ada jenama sendiri.

“Kecintaan itu masih lagi dalam lakonan, cuma mahu terokai lebih dalam perniagaan pula. Sebelum aktif seni pun rakan terdekat tahu saya memang minat dalam bisnes,” katanya.