Penyanyi dikir barat bersama lima individu lain didakwa hari ini atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan mengambil dadah bandar Sungai Golok pada 1 November lalu.

Memetik BH Online, penyanyi  Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, serta lima lagi termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad selain Mohamad Alif Deraman, Nur Aida Mamat, Erdeka Mohd Noor, dan Zuhaira Nasrin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil yaba.

BACA: Penyanyi ‘Bea Soba Bea’ Ada Kelab Peminat Di Penjara, Nyanyi Bersama Waktu Tertentu

Bagaimanapun, mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham.

Keenam-enam mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar Sungai Golok sekitar jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu.

Zuhaira dan Erdeka juga didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen sah, selain kerana tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan. Keenam-enam mereka diwakili tiga peguam termasuk seorang peguam yang disediakan oleh kerajaan Thailand.

Bercakap melalui jurubahasa, hakim memerintahkan kesemua tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pemilikan dadah itu, mencari bukti dan saksi bagi membuktikan dakwaan mereka.

“Kes ini membabitkan kepentingan awam di Malaysia dan Thailand. Oleh itu, saya ingin memastikan kes ini diselesaikan secepat mungkin.

“Jika kebiasaannya, mahkamah akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyelesaikan kes seperti ini tetapi saya berjanji kepada anda semua bahawa saya akan membuat keputusan pada awal Mac,” katanya.

SUMBER: BH Online

×