Pelawak Yassin Yahya akhirnya membuka mulut menceritakan kejadian menimpanya apabila dia ditahan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di Arab Saudi.
Yassin berkata kurang ilmu berkaitan perjalanan ke Tanah Arab jadi antara salah satu faktor ditahan dan bukan disebabkan penyalahgunaan dadah.
BACA: Ditahan Bukan Kes Dadah, Bawa Barang Lambang Terlarang – Yassin
Menerusi temu bual bersama Melodi, Yassin berkata penahanannya berpunca apabila penguatkuasa di Jeddah telah bertindak menggeledah begnya serta menemui rokok dan alat pengisar tembakau.
“Saya bawa alat pengisar itu kerana ada sebab kenapa saya kena bawa. Mereka nak tengok agaknya saya ini pembekal ke, penyeludup ke. Mereka ambil beg kecil yang saya pakai dan hampas-hampas tembakau yang ada disatukan.
“Mereka timbang semua itu termasuk sebatang rokok yang dihancurkan, benda itu nampak jadi banyak. Saya fikir, mungkin kerana lambang pada alat pengisar itu agaknya menyebabkan mereka sangsi,” katanya.
Sementara itu, Yassin berkongskan keadaan di lokap agak menyedihkan namun berada Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing jauh berbeza.
“Kalau lokap agak teruk di sana tetapi kalau penjara ada beza. Ada peluang kedua dan pesalah yang terlibat dengan dadah tidak dicampur dengan penjenayah lain.
“Penjara dekat sana ada TV, tempatnya ada pendingin hawa dan duduk atas katil. Tak ada sangat tekanan untuk saya. Kena happykan diri, tak nak tunjuk kesedihan,” katanya.
Dalam pada itu, Yassin menafikan dakwaan dia menghafal 30 juzuk Al-Quran ketika berada di sana sebaliknya hanya khatam dua kali.
“Mana ada saya hafal 30 juzuk, nak hafal dua surah pun susah. Cumanya adalah khatam Al-Quran satu dua kali,” katanya.