fbpx

Pengusaha mikro dan kecil Kayu Kayan & Perabot yang terjejas COVID-19 kini boleh menghela nafas lega selepas bakal dibantu Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA).

Sebanyak enam teras digariskan PEKA dalam usaha membantu pengusaha mikro serta kecil mendepani cabaran pasca pandemik COVID-19.

Keenam-enam teras berkenaan dibuat berpaksikan elemen pendigitalan sebagai rangkuman utama, selain mengetengahkan perancangan bersesuaian keadaan ekonomi ketika pandemik atau peralihan ke fasa endemik COVID-19.

Presiden PEKA, Hanafee Yusoff

Presiden PEKA, Hanafee Yusoff, berkata enam teras berkenaan disediakan melalui maklum balas diterima daripada ahli persatuan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan virus SARS-CoV-2.

Rancangan & Program Disediakan PEKA

Menyedari keadaan itu, jelas Hanafee, beberapa rancangan dan program disediakan PEKA bagi membantu membangunkan semula pengusaha kayu kayan dan perabot Bumiputera yang bernaung di bawah persatuan berkenaan.

“Menerusi teras pertama, PEKA menyediakan kaji selidik bagi mengumpul dan membangunkan data dan maklumat kerana sebelum ini tiada program atau kaedah yang disediakan bagi mendapatkan data secara berkala dan terus.

“Kita sediakan sedikit bajet untuk menyediakan platform digital bagi memudahkan ahli memberi input secara dalam talian dan terkini, selain ia membolehkan perbincangan dari semasa ke semasa dilakukan kedua-dua pihak.

Bagi menyediakan dan membangunkan platform secara digital, PEKA menjalinkan kerjasama bersama Universiti Malaysia Kelantan yang mana dalam proses penyiapan,” katanya pada sesi temubual secara maya, baru-baru ini.

Pelaksanaan Pendigitalan Produk & Program RENOMATE

Hanafee berkata, pembangunan program bagi pendigitalan produk kepada syarikat bertakrif mikro dan kecil pula akan dilaksanakan di dalam teras kedua.

“Pendigitalan produk amat penting bagi syarikat bertakrif mikro. Mereka ada produk tetapi kebanyakan bagi pasaran tempatan dan ‘make to order’, selain tiada katalog sewajarnya serta produk digital untuk memudahkan proses memasuki pasaran menggunakan media sosial.

“PEKA juga menyediakan program RENOMATE iaitu platform dalam talian sebagai teras ketiga, selain menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi termasuklah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi menyediakan ‘market base’ dan Persatuan Perindustrian Perabot dan Kayu Kayan Pulau Pinang (PFTIA) bagi menyediakan ‘supply base’, kepakaran dan sebagainya.

“PEKA juga akan terus berbincang dengan beberapa lagi persatuan untuk menjadikan platform RENOMATE ini merangkumi keseluruhan ekosistem perniagaan dalam industri perkayuan Malaysia,” katanya.

Eksport Produk ke Luar Negara

Memperincikan teras keempat, beliau berkata, PEKA menyediakan pengusaha yang berpengalaman mengeksport produk ke luar negara dengan kerjasama pereka bentuk bagi mengendalikan program pembangunan produk iaitu CEMP 2.0.

Katanya, ia akan memfokuskan kaedah terkini bagi menembusi pasaran dalam talian, selain bakal membangunkan usahawan untuk mereka bentuk ke arah produk ‘flatpack’ bagi memudahkan urusan pengangkutan, sekali gus mengurangkan kos.

“PEKA juga telah mengadakan program kerjasama dengan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) bagi membantu pengusaha mengembangkan perniagaan atas talian. Kita bantu pengusaha dengan menyediakan kursus menggunakan media sosial dalam tempoh empat bulan.

“Kita akan bantu menembusi sesetengah pasaran dan cuba mendapatkan market menggunakan media sosial,” katanya.

Program Pemasaran & Promosi Nilai Tambah (HiVA) Turut Disediakan

Mengulas lanjut, Hanafee berkata, PEKA turut meneliti produk yang menjadi kepakaran kepada pengusaha Bumiputera tetapi kurang diketengahkan. Oleh itu PEKA menyediakan satu program dalam teras keenam iaitu Program Pemasaran dan Promosi Nilai Tambah (HiVA).

“PEKA juga akan menggunapakai teknologi yang akan memainkan peranan besar bagi memperbaiki aktiviti dan kualiti penghasilan produk sedia ada, menggunakan beberapa teknik antaranya kawalan berangka terkomputer (CNC) dan laser.

“Penggunaan teknik ini membolehkan pengusaha kita menembusi segmen pasaran lebih luas, berbanding hanya bergantung kepada cara pembuatan secara tradisional bagi menghasilkan sesuatu produk. Selain itu, kita cuba untuk menambah nilai produk bagi mendapatkan margin dan jualan lebih besar,” katanya.