Pengurus Syed Iqmal Pertimbang Buang Gelaran Da’i

Meskipun bergelar penyanyi, nama Da’i Syed sebelum ini kurang dikenali ramai, namun kontroversi terpalit pendakwah itu sekaligus menaikkan namanya sehingga dirinya menjadi lebih terkenal. Perkara itu turut diakui pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar.

Katanya, masyarakat kini lebih mengenali pendakwah yang dicungkil bakat menerusi program realiti keagamaan itu. Ujarnya lagi, ada hikmah disebalik kontroversi itu dan selepas ini Da’i Syed boleh menggunakan kapasiti itu untuk berdakwah.

BACA: “Makcik Kantin Pun Dah Kenal Siapa Da’i Syed”

“Mungkin ada hikmah apa yang terjadi selain menaikkan namanya, mungkin selepas ini dia boleh gunakan kapasiti itu untuk berdakwah dan menyampaikan yang baik-baik.

“Buat masa ini untuk kerjaya nyanyian dia kita tengok dulu keadaan emosinya. Pihak pengurusan memang ada rancangan untuk dia tapi bagi dia betul-betul stabil dan kembali bersemangat terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai penggunaan gelaran Da’i pada nama Syed Iqmal, pengurusnya berkata dia akan melakukan perbincangan dengan pihak pengurusan mengenai penjenamaan semula.

“Tentang nama, InsyaAllah kita akan bincang selepas ini untuk rebranding. Kita akan lakukan dengan pihak pengurusan termasuklah mengenai hal promosi lagu dan sebagainya

“Sekarang ini kita hanya ikut prosedur yang ada, setakat ini Alhamdilillah sokongan peminat dan maklum balas netizen lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

×