fbpx

Pengasuh Adam Rayqal Mengaku Tidak Bersalah

Baru-baru ini kes bayi dibunuh dan diletak di bahagian sejuk beku mendapat perhatian ramai.

Mangsa Adam Rayqal Mohd Sufi, berusia 5 bulan, dipercayai dibunuh oleh pengasuhnya yang baru sahaja seminggu ditinggal bersama pengasuh terbabit.

Suspek yang dikenali sebagai Noor Aqilah Abd Rahman, 33, di dakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua tuduhan yang menyebabkan kecederaan di kepala dan tuduhan ke dua iaitu melupuskan mayat mangsa awal bulan ini.

Suspek bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan meminta untuk dibicara sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Foto: Aswadi Alias

Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang menjaga Adam Rayqal di dakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala kanak-kanak berkenaan.

Suspek bagaimanapun di dakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Suspek juga turut dituduh melupuskan mayat bayi lelaki berkenaan dengan niat menyembunyikan kematian mangsa supaya terlepas daripada hukuman dan dia turut di dakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah sewanya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves antara jam 6.20 petang dan 6.50 petang, 3 Julai 2018.

Awal bulan ini, pengasuh kepada bayi berusia 5 bulan ini, mendakwa bahawa bayi lelaki tersebut telah dilarikan oleh seorang lelaki dari rumah wanita berkenaan sehingga menyebabkan ibu bapa bayi, Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.

Bagaimanapun, penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan yang meragukan pihak polis.