Penganjur konsert Sumandak Stars, Orange International Entertainment mengakui kesilapan pihak mereka berhubung isu poster konsert sehingga menyebabkan penyanyi Stacy menarik diri.
Memetik Harian Metro, pengarahnya Datuk Mohd Fazli Idrus berkata pihaknya terlepas pandang dan tidak sangka perkara itu akan menjadi isu besar kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.
BACA: “Awalnya Konsert Diberi Nama Bella And Friends” – Stacy Jelaskan Punca Tarik Diri
“Memang kekhilafan itu dari kami. Kami tiada niat untuk membanding atau memperkecil mana-mana pihak khususnya artis yang terbabit dalam konsert itu. Semua mereka ada kelebihan dan pencapaian hebat.
“Sebelum ini, kami pun pernah anjurkan konsert dan buat konsep serupa pada poster dan tidak berlaku isu apa-apa. Jadi, kami ambil pengajaran untuk lebih cakna selepas ini agar tidak mengguris hati sesiapa pun,” katanya.
Sementara itu, Fazli menjelaskan masalah pada poster berlaku kerana kekangan masa, memandangkan Stacy hanya bersetuju untuk terbabit dua hari sebelum sidang media konsert.
Menurutnya lagi, pada asalnya konsep poster memang meletakkan Stacy sebagai bintang utama namun bahagian kreatif terpaksa memasukkan gambar Stacy pada saat-saat akhir selepas mendapat persetujuan.
“Bahagian kreatif kami pula memang tidak tahu menahu mengenai pencapaian dan tahap artis-artis yang terbabit itu. Disebabkan lagi sehari adakan sidang media, poster itu kena guna juga untuk tujuan cetakan promosi,” katanya.
Dalam pada itu, Fazli berharap Bella Astillah tidak dipersalahkan dalam hal berkenaan kerana keputusan terbabit sepenuhnya adalah tanggungjawab penganjur.
“Bella langsung tidak masuk campur dalam soal itu. Dia sendiri pun sangat sibuk dengan agenda seninya dan apa yang kami putuskan, dia ikut saja. Tiada langsung unsur mempengaruhi kami untuk kedepankan dia.
“Kami tidak mahulah pasal isu itu akan melarat dan kucar-kacirkan hubungan sesama mereka. Industri ini kecil, nanti akan berjumpa juga di mana-mana,” katanya.
SUMBER: Harian Metro