fbpx

Penerbit Rugi Besar, Filem Pulau Diharamkan Di Terengganu

Penerbit filem Pulau, Fred Chong memaklumkan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan tayangan filem berkenaan di negeri itu dengan alasan ada adegan keterlaluan.

Memetik Harian Metro, Fred berkata pengharaman filem yang akan ditayangkan di seluruh negara mulai 9 Mac itu sekaligus memberi kesan besar buat mereka serta bimbang jika tindakan diambil negeri Terengganu membuatkan negeri lain mengambil langkah yang sama.

BACA: “Pemakaian Pelakon Bertepatan Dengan Cara Pemakaian Di Pulau” – Penerbit Pulau

“Alasan mereka filem itu mengandungi adegan-adegan yang keterlaluan. Walhal, belum ada sesiapa lagi yang menonton filem itu.

“Semalam Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) memaklumkan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan penayangan filem Pulau di sana.

“Saya tak tahu selepas ini negeri mana pula yang akan mengikut langkah mereka. Saya rasa ini adalah langkah yang berbahaya kerana bermula dari tiga pawagam, mungkin boleh menjadi 30 atau 60 pawagam selepas ini. Bagi saya, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Kata Fred, pihak pawagam TGV di Terengganu menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman supaya filem Pulau tidak ditayangkan di tiga pawagam itu di sana.

Ditanya mengenai tindakannya, Fred berkata pihaknya sudah menghantar surat rayuan dan mencadangkan supaya pihak terbabit menonton terlebih dulu filem itu sebelum membuat keputusan.

“Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan mencadangkan kepada mereka, untuk saya ke sana bersama wakil dari TGV serta Finas, dan menayangkan filem itu kepada mereka.

“Dari situ, mereka sendiri boleh menilai sama filem itu sesuai ditayangkan atau tidak kerana filem ini sudah mengikut prosedur penapisan yang sepatutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Fred berkata pihaknya berdepan kerugian besar apabila pihak penaja menarik balik tajaan mereka kesan daripada kontroversi melanda.

“Kos penghasilan filem ini mencecah hampir RM4 juta dan kami semua meletakkan sepenuh kerja keras kami dalam menghasilkannya. Jadi, apa yang berlaku memberi kesan kepada pihak kami terutamanya sebagai syarikat produksi. Malah, nak bayar kepada stesen radio supaya memainkan lagu OST Pulau pun, kami tak mampu.

“Penaja juga sudah menarik balik tajaan sebanyak RM500,000. Niat kami untuk membawa industri perfileman kita ke peringkat yang lebih tinggi kini musnah.

“Kepada netizen yang menulis komen kecaman dan memboikot, saya rayu anda semua supaya menonton filem ini terlebih dulu sebelum menilainya,” katanya.