Pemeriksaan Pusat Sembelihan Ayam Di Selangor Perlu Dipertingkat

Pemeriksaan berkala terhadap pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam di Selangor perlu dipertingkatkan bagi memastikan setiap premis mematuhi prosedur serta piawaian halal yang ditetapkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerjasama antara agensi pengeluar sijil halal dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu diperkukuh bagi memastikan pemantauan dilaksanakan secara konsisten.

Katanya, tindakan tegas termasuk pendakwaan perlu diambil terhadap pengusaha yang didapati melanggar undang-undang atau syarat ditetapkan.

“Serbuan sudah dilakukan dan apa yang sewajarnya diambil adalah tindakan tegas termasuk pendakwaan dan sebagainya supaya kita boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

“Pengeluar sijil dan PBT perlu bekerja bersama. Pemeriksaan berkala harus dibuat supaya kita boleh memastikan operasi sensitif seperti pusat penyembelihan dapat beroperasi mengikut prosedur dan piawaian yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) dan Mega NUTRISEL di Shah Alam, hari ini.

Amirudin turut mengalu-alukan aduan serta maklumat orang ramai bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap premis berkenaan.

Katanya, kerjasama semua pihak berkuasa penting bagi memastikan operasi pusat penyembelihan dipantau dengan sebaik mungkin.

Terdahulu, media melaporkan sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, diserbu pihak berkuasa selepas timbul keraguan terhadap status halal ayam yang diproses di premis berkenaan.

Serbuan menerusi Ops Taring Chiller pada Jumaat lalu menyaksikan lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas kerana disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan pensijilan halal.

Pemeriksaan mendapati premis itu menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik atau water bath stunning yang dilaporkan menyebabkan ayam mati sebelum disembelih.

Seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.

×