fbpx

Pelawak Popular Didakwa Ceroboh Rumah Bekas Teman Wanita

Memetik laporan Kosmo! seorang wanita membuat laporan polis mendakwa bekas teman lelakinya yang juga pelawak popular menceroboh kediamannya di sebuah kondominium di Petaling Jaya, kelmarin.

Menurut sumber, wanita berusia 28 tahun itu mendakwa kejadian berlaku sekitar pukul 7.30 malam ketika dia berada di rumah seorang diri dan pelawak berkenaan masuk kerumahnya yang tidak berkunci.

“Pelawak tersebut didakwa masuk ke rumah wanita itu yang tidak berkunci selepas pembantu rumahnya keluar lalu menyelongkar barang-barang rumah seperti mencari sesuatu.

“Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit berasa tidak selesa dan terancam lalu menghalau pelawak itu keluar dari rumahnya

“Wanita itu mendakwa pelawak tersebut bertindak demikian kerana mengesyakinya membawa balik lelaki lain di rumah berkenaan,” kata sumber.

Sumber berkata, berlaku pertengkaran antara kedua mereka sehingga ditegur oleh jiran yang terdengar bunyi bising sebelum pelawak itu beredar.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan ada menerima laporan daripada wanita tersebut semalam. Namun, kedua-dua mereka tidak mahu memanjangkan kes tersebut dan memilih jalan untuk berdamai.

Terdahulu, wanita tersebut ada memuat naik gambar pelawak berkenaan di IG Story sambil meluahkan rasa rimas serta mendakwa masih diganggu oleh lelaki berkenaan.