fbpx

Pelaksanaan Pakej PRIHATIN & PENJANA Dijalankan Secara Telus Dan Terbuka

Kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam memastikan status pencapaian Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA PRIHATIN dijalankan serta dilaporkan dengan secara telus dan terbuka.

Dalam ucapan Menteri Kewangan, YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, melalui Laporan Laksana ini juga membolehkan Kerajaan memberi maklumbalas berhubung isu-isu berbangkit dalam usaha menangani kesan wabak COVID-19 terhadap kelangsungan Malaysia secara amnya.

Pada tahap pencapaian keseluruhan semasa, berikut merupakan tahap pencapaian keseluruhan semasa bagi pakej PRIHATIN:

a. Bagi pemberian tunai secara one-off – seperti bantuan kepada pelajar IPT, BPN, BSH, pemandu ehailing dan teksi, pesara kerajaan, dan lain-lain – yang melibatkan pembayaran sebanyak RM14.7 bilion, tahap pencapaian pelaksanaan adalah pada kadar yang tinggi iaitu 94%; dan

b. Bagi inisiatif yang melibatkan pelaksanaan dalam jangka masa antara 3 hingga 6 bulan pula – seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah (asal), moratorium, eCAP KSWP dan lain-lain – yang melibatkan penyaluran RM108 bilion, pelaksanaan adalah mengikut jadual pada tahap 85%.

Bagi pakej PENJANA pula, berikut adalah tahap pencapaian keseluruhan semasa:

a. Bagi pemberian tunai secara one-off – seperti e-Penjana, bantuan kepada golongan terjejas, geran secara one-off kepada pengendali taska dan tadika yang berdaftar dan lain-lain – yang melibatkan pembayaran sebanyak RM647 juta tahap pencapaian pelaksanaan adalah pada kadar yang tinggi iaitu 68%; Dan

b. Bagi inisiatif yang melibatkan pelaksanaan dalam jangka masa antara 3 hingga 6 bulan pula – seperti lanjutan subsidi upah (asal), My30, PEKA B40, Shop Malaysia online dan lain-lain – yang melibatkan penyaluran sebanyak RM4.27 bilion, pelaksanaan adalah mengikut jadual pada tahap 43%. Ini adalah tahap yang memberangsangkan memandangkan inisiatif-inisiatif PENJANA telah mula dilaksanakan secara berfasa antara bulan Jun dan September.

Melalui unit LAKSANA, Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan kesemua pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan dan bekerja rapat dengan agensi pelaksana dalam memastikan bantuan sampai dengan cepat dan efektif, ini termasuk pakej KITA PRIHATIN yang diumumkan baru-baru ini.

Di bawah PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara), inisiatif-inisiatif telah dikategorikan kepada tiga matlamat utama iaitu Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi.

Matlamat 1: Memperkasakan Rakyat

1. Skim Peduli Kesihatan

Skim ini untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) yang dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mereka yang layak iaitu penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar dan berumur 40 tahun dan ke atas akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan untuk melakukan saringan kesihatan di klinik-klinik yang berdaftar dengan PEKA B40.

Melalui skim ini, penekanan diberikan bagi menampung keperluan kesihatan seperti pengesanan awal untuk penyakit tidak berjangkit. Pemohon yang layak bakal menerima manfaat lain daripada skim ini yang terdiri dari bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

2. Pusat Asuhan Kanak-Kanak Amalkan SOP

Bagi menggalakkan pusat asuhan kanak-kanak membuat peralihan ke arah amalan Standard Operating Procedures (SOP) norma baharu dan pengiktirafan premis, geran secara one-off yang bernilai sehingga RM5,000 disalurkan kepada setiap pengendali taska dan tadika yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain itu, insentif untuk melatih pengasuh baharu turut disediakan bagi penjagaan kanak-kanak dan kursus pendidikan awal di bawah KPWKM.

3. Program Subsidi Upah (PSU)

Bantuan bagi PSU di bawah PRIHATIN diberikan kepada majikan untuk tempoh 3 bulan bermula April sehingga Jun. Di bawah Pakej PENJANA, bantuan ini telah dilanjutkan selama 3 bulan lagi bermula Julai sehingga September 2020 yang menjadikan PSU berjumlah 6 bulan secara keseluruhan. Terkini, PSU telah diputus untuk dilanjutkan lagi di antara 3 hingga 6 bulan di bawah pakej KITA PRIHATIN.

4. Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan

Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion. Secara keseluruhannya seramai 43,998 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini. Jumlah ini merangkumi 34,476 orang di bawah umur 40 tahun, 5,456 orang bagi golongan berusia di antara 40 hingga 60 tahun, 284 OKU dan 3,782 perantis.

Matlamat 2: Melonjakkan Perniagaan

1. Sokongan Kerajaan Terhadap PKS

Sokongan kerajaan bagi membantu mengekalkan pekerjaan serta meringankan bebanan seperti membantu aliran tunai PKS melalui peruntukan di bawah Tabung Bank Negara Malaysia antaranya:

a. Kemudahan Automasi dan Digital PKS (Automation and Digitalisation Facility – ADF) untuk menggalakkan PKS mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi mereka bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

b. Kemudahan Agromakanan (Agrofood Facility – AF) dengan peruntukan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara dan eksport. PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 8 tahun.

2. Kerajaan Menyediakan Bantuan PKS & Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC)

Kerajaan menyediakan bantuan dan menggalakkan PKS serta Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM100 juta bagi Geran Padanan Pendigitalan PKS dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, RM500 juta pembiayaan melalui SME Technology Transformation Fund dan Geran Automasi Pintar berjumlah RM100 juta dengan syarat had maksimum RM1 juta untuk setiap syarikat.

3. Skim Pemulihan Perniagaan Tekun

Skim Pemulihan Perniagaan Tekun atau TEKUN Business Recovery Scheme – TBRS). Setakat 25 September 2020, sebanyak RM75.5 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 11,383 PKS Mikro.

4. Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN)

Setakat 25 September 2020, sebanyak RM73.7 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 2,007 PKS dan PKS Mikro.

5. Pembiayaan PKS PENJANA

Kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM2 bilion dan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.

Bagi memastikan kelangsungan usahawan Bumiputera pula, Kerajaan juga menyediakan program pembiayaan Bumiputera berjumlah RM500 juta untuk disalurkan melalui dua agensi iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan MARA yang berupa pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan Bumiputera yang terjejas, termasuklah sektor pendidikan swasta.

Melalui Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA, Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi membantu PKS dalam sektor pelancongan untuk memastikan kelangsungan dan daya saing dalam norma baharu.

Matlamat 3: Merangsang Ekonomi

1. Dana Penjana Nasional

Kerajaan telah melancarkan Dana Penjana Nasional pada 27 Ogos 2020 dengan peruntukan RM1.2 bilion khusus kepada sektor modal teroka dan permulaan di Malaysia. Dana Penjana Nasional ini bertujuan untuk memacu pemulihan ekonomi melalui proses pendigitalan perniagaan negara dalam sektor teknologi berimpak tinggi.

2. Kemudahan Skim AgroMakanan (PENJANA)

Bagi menyokong Sektor Pertanian dan Makanan, Kerajaan telah memperkenalkan Kemudahan Skim AgroMakanan (PENJANA) di bawah Agrobank yang bernilai RM350 juta dengan kadar faedah 3.5% di mana nilai maksimum pembiayaan adalah sebanyak RM50 ribu sehingga 5 tahun.

Pembiayaan ini bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada usahawan Mikro terutamanya komuniti Agro di bawah kategori B40 yang terlibat dengan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

3. Permohonan ePenjana Ditutup

Ketiga, permohonan ePenjana telah ditutup pada 24 September 2020 dan tempoh penggunaan kredit RM50 di dalam e-dompet ini telah tamat tempoh pada 30 September 2020.

Sehingga 24 September 2020, 11.15 juta rakyat telah berjaya menerima RM50 dalam e-Dompet mereka dengan jumlah nilai sebanyak RM557.46 juta.

4. Sokongan bagi Sektor Seni, Budaya dan Hiburan

Keempat, Sokongan bagi Sektor Seni, Budaya dan Hiburan. Antara peruntukan yang disediakan adalah sejumlah RM100 juta dalam bentuk pinjaman dengan faedah 3.5% dan RM30 juta geran untuk industri kreatif, acara dan pameran di bawah MyCreative Venture; manakala RM10 juta adalah di bawah CENDANA.

Sehingga 25 September 2020, sebanyak 46 permohonan telah diterima bagi MyCreative Venture bernilai RM34.2 juta dan bagi inisiatif CENDANA pula sebanyak 120 permohonan telah diluluskan bernilai RM439,120. Para penggiat industri kreatif adalah disaran untuk menggunakan peluang kemudahan yang disediakan ini dalam menghasilkan karya-karya mereka.

Meneruskan Momentum Pemulihan Ekonomi

Pada masa ini, kita sedang berhadapan dengan peningkatan kes-kes harian baharu COVID-19 yang mencecah sehingga tiga digit. Seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia, majoriti kes tertumpu di beberapa kawasan di sekitar Sabah dan Kedah, dan sehubungan itu, tindakan PKP yang diambil oleh Kerajaan adalah secara bersasar.

Pendekatan ini, antara lain, memastikan keseimbangan di antara usaha membendung penularan wabak COVID-19 dan penerusan aktiviti ekonomi. Seperti yang disarankan YAB Perdana Menteri, ekonomi kita perlu terus digerakkan dalam usaha pemulihan serta bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestablian ekonomi negara.

Dalam ulasan isu ekonomi semasa di dalam laporan-laporan LAKSANA sebelum ini, beliau telah mengulas bahawa ekonomi negara sedang melihatkan penambahbaikan dari pelbagai perspektif dan indikator, termasuk penurunan angka pengangguran, peningkatan indeks perdagangan runcit dan borong, peningkatan pelaburan asing langsung, peningkatan produktiviti dalam industri pembuatan dan pembinaan, serta pelbagai lagi.

Antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi adalah pelaksanaan bantuan dan langkah di bawah PRIHATIN dan PENJANA, tetapi tidak dilupakan, usaha rakyat Malaysia dan peniaga-peniaga yang mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan. Selagi vaksin belum ditemui, pematuhan kepada SOP adalah penting dalam memastikan kesinambungan urusan harian dan perniagaan.

Kadar pemulihan ekonomi sekarang berada pada landasan yang betul, dan beliau juga berharap momentum pemulihan ini dapat dikekalkan di dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada bulan November ini.

Ketika perjumpaan beliau bersama pihak berkepentingan pelbagai industri, isu yang sering dibangkitkan adalah sokongan berterusan Kerajaan buat perniagaan, terutamanya PKS, dalam memastikan ketersediaan untuk beroperasi dalam norma baharu serta menjana permintaan daripada pengguna dan pelabur bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar negara.

Kerajaan juga telah menerima pelbagai cadangan, dan sedang mempertimbangkan kesemuanya, bagi merangka Belanjawan 2021 yang berpaksikan rakyat, perniagaan dan ekonomi. Ini adalah demi memastikan kesinambungan pendekatan yang selaras dengan Pakej PRIHATIN dan PENJANA. Sesungguhnya, Kerajaan amat serius dalam mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pada tahun 2020 dan melonjakkannya pada tahun 2021.