fbpx

Pelakon Syazlin Zainal Maut Akibat Jatuh Tingkat 22 Pangsapuri

Polis mengesahkan pelakon dan selebriti media sosial, Syazlin Zainal maut selepas terjatuh daripada tingkat 22 di sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor semalam.

Memetik Kosmo, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 12.50 tengah hari.

Menurutnya, panggilan awam memaklumkan mereka menemukan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri itu.

Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan adalah seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan bekerja sebagai seorang pelakon sambilan.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya.

Dalam pada itu, siasatan awal polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, pihak polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghulurkan maklumat kepada pegawai penyiasat.

Difahamkan, proses bedah siasat masih lagi dijalankan dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkhuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga.