fbpx

Pakai Seluar Ketat, Hawa Rizwana Mohon Maaf

Baru-baru ini, pengacara Hawa Rizwana dikecam apabila tampil dengan seluar terlalu ketat menimbulkan rasa kurang senang netizen apatah lagi pemakaiannya itu tidak sesuai dengan imejnya yang berhijab.

Memetik Kosmo, Hawa memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dan terasa hati tentang cara pemakaiannya itu serta mengatakan dia akan lebih berhati-hati selepas ini.

BACA: Seluar Terlalu Ketat, Hawa Rizwana Dikecam Netizen

“Tentang isu pakaian saya baru-baru ini, sebenarnya baju yang saya gayakan itu labuh. Cuma gambar yang saya kongsikan dalam media sosial diambil dari sudut yang tidak sesuai. Jadi nampak tidak sopan.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Memang saya rasa tidak seronok bila pakaian yang saya gayakan tidak disenangi,” katanya.

Menurut Hawa lagi, dia tiada niat untuk menyakiti hati sesiapa pun serta terbuka untuk menerima teguran daripada netizen.

“Sejujurnya saya tiada niat untuk buat sesiapa sahaja sakit hati. Bila ada yang menegur, saya ambil teguran itu secara positif. Saya juga akan lebih berhati-hati untuk berkongsi sesuatu dalam media sosial,” katanya.

Ditanya sama ada tidak serik apabila pernah ditegur sebelum ini tentang isu yang sama, Hawa berkata dia masih belajar untuk menjadi wanita yang lebih baik serta mengucapkan terima kasih buat mereka yang memberikan teguran kepadanya.

“Memang saya pernah ditegur sebelum ini tentang bab berpakaian. Saya masih lagi belajar untuk menjadi lebih baik.

“Kalau rasa rasa teguran itu boleh jadikan saya manusia yang lebih baik, kenapa tidak? Saya pun tidak mahu jadi suri teladan yang tidak baik. Terima kasih pada mereka yang menegur,” katanya.