Penyanyi dan juga anggota kumpulan Elite iaitu Linda Rafar mengakui dia hampir menarik diri daripada konsert gara-gara busananya dikecam pada majlis pengumuman konsert kumpulannya.
Memetik BH Online, Linda mendakwa dia mengalami anxiety dan tidak lalu makan selepas dikecam teruk. Malah, Linda turut merasa sedih dituduh penunggang agama.
BACA: Linda Rafar Pandai Mengurut, Boleh Baca Hati Orang
“Kalau saya wanita liar, saya tidak kisah dikritik. Apa yang berlaku, orang tuduh saya penunggang agama… Saya sangat sedih. Saya tidak kisah dikritik soal vokal, tarian atau usia. Kami sudah terima bahawa Elite bukanlah hebat dan peminat lebih kenal kami.
“Mungkin saya tidak pernah kecaman sebegini, jadi, saya terkesan. Hendak tidur pun terfikir-fikir sampai saya rasa hendak tarik diri (daripada konsert). Semangat saya daripada teruja, bertukar sedih,” katanya.
Sementara itu, Linda berkata disebabkan kecaman tersebut dia tidak makan seharian dan merasa malu kerana dia banyak mengikuti kelas agama serta usrah.
“Saya fikir kuat, tetapi tidak, saya tidak makan seharian. Saya tidak balas mesej dalam kumpulan WhatsApp kami. Saya tak jawab mesej atau panggilan. Saya menangis apabila ada yang komen saya menunggang agama.
“Sampai ada yang ‘tagged’ Ustaz Wadi Annuar, atas dasar saya anak muridnya. Saya banyak ikuti kelas agama dan usrah. Saya jadi malu apabila dikatakan terpesong hanya disebabkan baju dipakai,” katanya.
Dalam pada itu, Linda turut menjelaskan busana pada sidang media itu disediakan oleh pihak penganjur untuk setiap seorang serta tidak diberi persalinan pilihan.
“Baju hanya disediakan satu setiap seorang, tiada pilihan kedua. Ketika saya memakai busana itu, hati berdetik apakah persalinan ini terlalu ketat. Saya tanya rakan Elite lain dan mereka beritahu cantik dan sesuai untuk saya. Jadi, saya dengan rela hati pakai busana itu,” katanya.
Sumber: BH Online