fbpx

“Noh Salleh Ludah Sebab Kena Renjatan Elektrik” – Pengurus

Hangat diperkatakan dakwaan penyanyi Noh Salleh meludah ke arah penonton ketika persembahan di sebuah konsert Sabtu lalu, pengurus kepada penyanyi itu tampil menjelaskan situasi sebenar.

Memetik mStar Online, Ahmad Ariffin Ahmad berkata Noh tidak meludah kepada penonton sebaliknya ke atas pentas.

“Dakwaan Noh meludah ke bahagian penonton adalah tidak benar. Jarak penonton dan pentas juga dipisahkan oleh besi penghadang. Jadi tak mungkin terkena penonton,” katanya.

Katanya lagi, Noh bertindak sedemikian kerana terasa seperti ada renjatan elektrik ketika meletakkan mikrofon dekat dengan mulutnya.

“Noh terasa seperti ada renjatan elektrik ketika meletakkan mikrofon dekat dengan mulutnya. Bagi mengalihkan rasa sakit, Noh secara spontan meludah,” katanya.

Dalam pada itu, pengurus kepada penyanyi itu turut memohon maaf pada pihak yang kurang senang dengan tindakan Noh yang tidak disengajakan.