fbpx

Nelydia Senrose Disaman, Dituntut Pulang Wang RM160,000

Pelakon Nelydia Senrose disaman oleh syarikat produk kosmetik Chriszen Malaysia Sdn Bhd kerana didakwa melanggar kontrak sebagai duta pada tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, pengarah urusannya, Mandy Leong Cheng Mun berkata, pihaknya hanya mahu menuntut pulangan wang sebanyak RM160,000 daripada Nelydia sebagai ganti rugi.

BACA: Tempoh PKP Eratkan Hubungan Nelydia Senrose & Suami

Pihaknya telah membayar sebanyak RM102,000 kepada Nelydia bagi tujuan mempromosikan produk mereka. Namun, bayaran itu tidak setimpal dengan tugas yang dijanjikan dan Nelydia didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

“Sebaik dia (Nelydia) bersetuju dengan kontrak syarikat kami sebagai duta, saya sudah membayarnya sebanyak RM102,000 iaitu kira-kira 70 peratus daripada jumlah penuh.

“Bagaimanapun, dia gagal melaksanakan tanggungjawab apabila tidak melakukan aktiviti promosi dan publisiti seperti yang termaktub dalam kontrak.

“Antaranya membuat hantaran mengenai produk sebanyak 15 kali di media sosial, menghadiri dua kali promosi di televisyen dan datang ke majlis pelancaran produk kami pada 25 April tahun lalu,” katanya.

Malah, pelakon itu juga didakwa tidak memberi kerjasama sebaiknya sebagai duta produk yang dilantik kerana hanya terbabit dengan satu sesi fotografi produk sahaja.

Prosiding perbicaraan hari pertama kes itu dijalankan hari ini di hadapan Hakim Shamsuddin Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Nelydia ketika ditemui di perkarangan mahkamah enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan berkenaan dan menyerahkan kepada pihak mahkamah.

“Maaf saya tak boleh komen apa-apa mengenai kes ini kerana tidak mahu mengganggu proses mahkamah. Apapun, kehadiran saya di sini adalah sebagai tanda kerjasama penuh diberikan terhadap perbicaraan kes ini,” katanya.