Bekas isteri penyanyi Datuk ND Lala iaitu Fauziah Sarman menafikan dakwaan bekas suaminya bahawa dia yang tidak bersetuju untuk berpoligami.
Memetik Harian Metro, Fauziah berkata dia sebenarnya bersetuju berpoligami namun perkara itu tidak disampaikan kepada bekas suaminya kerana pelbagai cara dilakukan untuk bertemu ND Lala serta menerusi mesej tidak dilayan.
BACA: ND Lala Minta Bekas Isteri Pulangkan Pasport
Menurut Fauziah, sebaliknya perkara itudisampaikan kepada rakan baiknya iaitu pelakon, Zaidi Omar dan penyanyi, Roslan Madun.
“Saya cakap saya dah reda sebab dah macam-macam cara saya buat untuk berjumpa dengannya, tetapi semuanya memang tak dilayan menerusi WhatsApp dan mesej pesanan ringkas.
“Saya dah sedar. Mungkin ini takdir saya dan sudah menerima untuk poligami. Mereka menangis dengar kata-kata saya, tapi di pihak abang ND tak boleh terima,” katanya.
Kata Fauziah lagi, dia telah melakukan pelbagai cara untuk pulihkan keadaan dengan bekas suaminya namun tiada dilihat seperti bertepuk sebelah tangan serta melihat ND Lala yang tidak mahu poligami.
“Saya hanya letakkan syarat tak nak ambil tahu langsung mengenai wanita itu (Siti Munirah). Tapi ia hanya berlaku di sebelah pihak saya tanpa ada respon daripada abang ND.
“Sampai tahap saya dah penat berjuang seorang diri dan buat keputusan untuk berhenti berharap. Sebab bila dia tolak, saya lihat dia tak nak poligami.
“Dia memang makin menjauh dari saya dan saya rasa cukup-cukuplah. Dia pun dah tinggalkan saya setahun lebih dan duit nafkah pun tak beri,” katanya.
Dalam pada itu, rakan artis seperti Datin Suliza mengatakan bahawa dia seorang yang setia serta turut memberikan nasihat supaya terima untuk bermadu meskipun pahit. Malah, Fauziah berkata pada rakannya itu bahawa dia tidak mahu kehilangan ND Lala.
“Dia kata saya jenis yang setia dan tak boleh hidup tanpa abang ND. Jadi dia nasihatkan saya supaya terima saja bermadu walaupun benda itu pahit. Abaikan saja wanita itu kerana yang penting ND balik rumah dan layan saya macam biasa.
“Ramai lagi yang nasihatkan saya dan itu yang buat saya terbuka hati untuk bermadu. Saya pun ada cakap dengan seorang ustaz dan dia terkejut dengan tindakan saya.
“Saya kata padanya, saya tak nak kehilangan abang ND kerana dah lebih setahun dia tak balik. Saya dah sampai peringkat dah rindu dia dan dapat dengar suara pun jadilah,” katanya.
Sementara itu, Fauziah berkata dirinya sudah pulih 90 peratus untuk menerima kenyataan namun terkilan bekas suaminya itu tidak mahu bertemu serta bercakap dengannya serta anak-anak.
“Saya reda apa yang berlaku terhadap saya. Allah uji saya banyak manalah sangat kalau dibandingkan dengan orang lain.
“Saya bersetuju wanita itu dianggap ‘penyondol’ dalam rumah tangga saya. Bagi saya sesuai ayat itu digunakan. Tapi saya tak salahkan dia seorang kerana kalau bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Dua-dua sama perangai,” katanya.