Selepas sekian lama berdiam diri, pelakon dan penyanyi popular, Datuk ND Lala akhirnya tampil bersuara mengenai kontroversi terpalit dirinya dan bekas isteri, Fauziah Sarman.

Memetik Harian Metro, menerusi video tersebut, ND Lala turut memberi penjelasan mengenai dakwaan kereta yang dicuri oleh anak lelakinya. Menurutnya, dia tidak tergamak ‘menyumbat’ anaknya, Amir Syafiq ke penjara hanya kerana mengambil kereta milik isterinya, Siti Munirah.


BACA: “Bekas Isteri Banyak Kali Ugut, Desak Minta Diceraikan”

Mengulas mengenai keadaannya dilihat tidak terurus ketika dalam video itu, ND Lala berkata dirinya betul-betul tertekan serta menafikan dakwaan bahawa dirinya disihir oleh Munirah.

“Kalau sehingga polis tangkap, akan mencemar nama baik keluarga. Berita akan keluar, anak ND Lala ditangkap kerana curi kereta. Saya pujuk dia, akhirnya dia bersetuju untuk serahkan balik. Saya tak naklah anak saya direman, ditangkap dan dimalukan.

“Isu ini berjalan selama hampir dua bulan. Bukan kerana saya disihir isteri, Siti Munirah. Itu fitnah, saya memang dalam keadaan tertekan. Siti Munirah tidak pernah suruh mana-mana ahli keluarga saya pergi ambil kereta itu. Hakikatnya, kereta itu diambil secara tidak sah, maksudnya kereta itu dicuri,” katanya.


Tambah ND Lala lagi, dia sebolehnya tidak ingin berbalah dengan bekas isteri serta meminta Fauziah memulangkan semula pasport miliknya dan Siti Munirah.

“Saya meminta bekas isteri, kita pun sudah bercerai cara baik, tak perlulah berbalah atau bergaduh. Tak boleh, kita sudah tua. Saya minta sangat-sangat supaya pulangkan balik pasport itu,” katanya.

Sementara itu, ND Lala berkata susulan kontroversi terpalit dirinya itu sekaligus menyebabkan reputasinya musnah apabila dikecam satu Malaysia.

“Hanya kerana isu ini, semua rekod saya terpadam. Sukar gambarkan apa perasaan saya saat ini apabila saya dikecam satu Malaysia. Ke mana saya pergi, saya boleh lihat respon orang ramai terhadap saya sangat berbeza.

“Sebelum ini, kalau jumpa saya, mereka akan menyapa dan senyum. Namun, kini boleh nampak perubahan, ada yang tarik muka, nampak wajah benci walaupun tak pernah jumpa atau kenal saya,” katanya.