Menerusi perkongsian di Instagram semalam, pelakon Ungku Ismail berkongsikan perkembangan terbaru mengenai Nad Zainal yang masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ungku Ismail memaklumkan Nad menunjukkan perkembangan positif sejak tiga hari lalu dan sudah mula sedarkan diri serta sudah mula menggerakkan tangan.
BACA: “Sekali Sekala Nad Membuka Matanya & Tidur Semula” – Rakan
“Setiap hari ada perkembangan yang kecil. Tapi dalam masa yang sama ada keadaan agak membimbangkan juga apabila tiba-tiba oksigen serta darah tingginya naik turun.
“Dalam tiga hari lepas doktor dah kurang dos ubat tidur, dia dah sedar sikit, dah boleh buka mata, boleh gerakkan tangan dia, boleh angguk bila kita cakap dengan dia.
“Pada mulanya dia sedar itu dia agak panik apabila melihat keadaan di hospital tapi, kami cuba tenangkan dia. Dia sedar sekejap sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, meskipun Nad sudah mula menunjukkan perkembangan positif namun masih memerlukan pemantauan rapi di ICU.
“Nad masih dalam ICU, maka dia masih dalam keadaan kritikal. Tak boleh nak gembira sangat kerana masih menunggu untuk paru-parunya betul-betul sembuh kerana kini mesin pernafasan masih belum cabut walaupun kadarnya sudah dikurangkan.
“Selagi mesin pernafasan belum cabut saya masih tak keruan begitu juga keluarganya tak keruan melihat anak tunggalnya,” katanya.
Dalam video tersebut, Ungku Ismail turut menjelaskan dirinya tidak merajuk atau sentap apabila memberitahu tidak akan berkongsikan lagi perkembangan Nad Zainal selepas didakwa berkecil hati dengan netizen.
“Saya tak merajuk, cuma saya terkilan apabila maklumat yang cuba saya sampaikan telah terpesong. Bila saya suruh doa tapi orang doakan hubungan saya pula. Saya ingatkan orang fokus mengenai keadaan Nad.
“Tapi video ini saya tujukan kepada ramai, boleh kata beribu yang DM meminta saya update perkembangan terbaharu Nad,” katanya.