fbpx

Mural Berinspirasikan APEC 2020 Hiasi Kuala Lumpur

Sejak kebelakangan ini, anda perasan tak fenomena lukisan mural atau semburan cat pada dinding bangunan semakin menarik perhatian ramai? Selalunya lukisan ni ada di kawasan tertentu dengan penerapan mesej tersendiri. Sangat cantik dan tertarik!

Kebanyakan kedai dan kawasan awam pun dah mula dijadikan sebagai pengganti kanvas yang besar ni. Ianya untuk membolehkan pelukis meluahkan ilham kreativiti mereka kepada orang ramai.

Kehadiran mural juga menjadi daya tarikan terutamanya geng anak muda yang suka menjadikan lukisan mural sebagai latar belakang untuk bergambar untuk dikongsikan dalam laman sosial mereka. Kalau kami pun terjumpa lukisan mural ni pun, laju-laju jer nak ootd kat situ, sebab cantik sangat! Barulah gambar letop nanti.

Perkembangan semasa ini turut mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku sekretariat kebangsaan yang menganjurkan mesyuarat maya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.




Jadinya lukisan APEC 2020 dilukis pada dinding salah satu dinding bangunan sekitar ibu kota dengan penggunaan imej dan kombinasi warna yang menyerlah menerusi suntikan elemen kemakmuran bersama, didokong falsafah.

Untuk info anda, tema kemakmuran bersama itu diguna pakai dalam kalangan anggota ekonomi APEC bagi menambah baik kesejahteraan rakyat dan ekonomi masing-masing.

Lukisan Mural Tonjol Kreativiti Mesej

Pelukis mural ni masih lagi muda tau. Baru berusia 31 tahun. Edmund Low Yew Mun ada berkongsi mengenai lukisan mural ni. Katanya pendekatan seni itu kian mencuri perhatian masyarakat tempatan kerana ia lebih menonjol mengikut kreativiti mesej.

Dia yang turut dikenali sebagai Nestwo itu berkata, penghargaan diberikan oleh masyarakat juga amat bermakna kerana ia mampu meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan pelukis sepertinya.

“Persepsi masyarakat terhadap lukisan mural mula berubah bahkan ramai pengusaha syarikat, agensi dan organisasi menjadikannya sebagai platform pemasaran lebih efektif dan unik.

“Pendekatan santai ini juga dapat menarik perhatian masyarakat dari pelbagai lapisan usia untuk mendekati mural ini bagi dijadikan sebagai portrait atau ‘spot’ bergambar.

“Tindakan itu secara tidak langsung membolehkan maklumat ingin disampaikan tersebar luas mencakupi pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Kata Edmund, pengalaman bekerjasama dengan APEC 2020 membuka matanya untuk mengenali APEC lebih dekat bagi membolehkan terjemahan falsafah itu disampaikan kepada masyarakat melalui penghasilan mural itu.

Berkecimpung dalam bidang seni sejak 10 tahun lalu, katanya lukisan mural mengambil masa selama empat hari untuk disiapkan itu menjadi landasan kepada penyebaran maklumat dan pengetahuan. Lama tu gais, so jangan gatal tangan nak pergi rosakkan lukisan mural orang okay.

Edmund juga ada cakap, lukisan mural ni mampu menjadi platform penyebaran maklumat dan kempen kesedaran kepada masyarakat.

“Menerusi lukisan ini, saya yakin ia dapat membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah APEC kali ini,” katanya.

Memerlukan lebih 40 tin cat semburan, katanya lukisan mural dihasilkan itu menggabungkan elemen perpaduan gaya hidup, ekonomi, pertanian dan sumber alam serta teknologi.

“Lukisan mural dihasilkan ini menekankan penyampaian maklumat interaktif berkenaan APEC 2020 yang dijalankan sepanjang tahun dan saya mahu penghasilannya kekal relevan.

“Memang tidak dinafikan saya bangga dengan penghasilan seni ini kerana diberikan peluang untuk turut terbabit dengan penyampaian APEC 2020 kepada masyarakat menerusi pendekatan kreatif,” katanya.