Mudahkan Pengeluaran Simpanan Akaun 1, KWSP Mansuh Syarat i-Sinar

Berita baik gais! Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa mereka sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar! Hal ini selepas Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi nasihat supaya KWSP menambahbaik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.

Dengan langkah ini diharap ianya dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19.
Selain itu, pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar ini juga akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada.

Bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Di samping itu, KWSP turut memaklumkan bahawa jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, iaitu:

a. Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b. Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka. Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Dan berikutan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan ini. Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP. Kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan.

Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran-saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih dan bertujuan untuk menipu atau mengelirukan ahli.

×