fbpx

Mila Jirin Nak Beli Bot, Siap Sedia Jika Berlaku Banjir Lagi

Turut turun padang melakukan kerja menyelamat dan menghantar bantuan ketika banjir, penyanyi dan usahawan, Mila Jirin bercadang untuk membeli bot untuk sebagai persediaan di masa akan datang.

Menurut Mila, setiap tahun beberapa lokasi di Malaysia akan mengalami banjir dan jika mereka ada bot sendiri akan memudahkan urusan menyelamat keluarga termasuk membantu orang lain juga.

BACA: Walau Tak Ada Maid, Mila Jirin Syukur Allah Mudahkan Urusan

“Kejadian banjir besar yang melanda sebahagian Selangor dan Kuala Lumpur, Sabtu lalu cukup memberi peringatan kepada saya supaya bersiap sedia kerana situasi bencana sebegini tidak boleh dijangka.

“Selama lebih 10 tahun menetap di Puchong, kejadian banjir besar Sabtu lalu adalah kali pertama dilalui. Memang terkejut kerana saya tak pernah menduga kawasan Puchong akan terkesan seteruk ini,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai musibah banjir melanda Sabtu lalu, Mila berkata ada pekerjanya yang bekerja ketika itu tidak dapat pulang ke rumah kerana rumah dinaiki air.

“Ketika hujan lebat itu, kami berada di BizmiIla kerana ada majlis perlu diurus. Ketika sibuk bekerja, ada pekerja saya terima panggilan daripada keluarganya maklumkan kawasan kediaman mereka sudah banjir dan dia tak boleh balik ke rumah lagi.

“Esoknya, saya pun nak bantu pekerja itu melihat keadaan rumahnya tapi air banjir sudah tinggi dan ketika itu kami tiada bot dan sukar untuk beri bantuan. Puas juga mencari bot atau sampan di kawasan berdekatan untuk disewa, namun semua sudah tiada,” katanya.

Ditanya mengenai misi banjir yang dilakukan sejak Ahad lalu, Mila berkata dia dan beberapa pekerja menghantarkan bantuan barangan keperluan di enam buah pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka untuk mangsa banjir di Puchong dan USJ Subang Jaya.

Kata Mila lagi, dia terpanggil untuk membantu kerana mahu membalas jasa warga Puchong yang banyak memberi sokongan serta membantu perniagaannya berdiri kukuh selama ini.