Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh telah umumkan yang beliau akan menderma 100,000 euro (RM405,000) untuk bantuan dan pemulihan kepada mangsa-mangsa gempa bumi Nepal.
Michelle Yeoh telah menyalurkan derma 100,000 euro melalui Tabung Tindakan Kecemasan Nepal, Persatuan Sukan Automobil Nepal (NASA) bagi tujuan bantuan dan pemulihan mangsa-mangsa gempa bumi, menurut NASA dalam satu kenyataan.
Yeoh ditemani pasangannya, Jean Todt yang juga Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) tiba di sini pada Khamis lalu untuk menghadiri program NASA di Nepal.
Ia merupakan lawatan kedua beliau ke Nepal. Yeoh sebelum ini memendekkan lawatannya ke Nepal untuk pulang ke Perancis berikutan gempa bumi kuat di sini pada April lepas, menurut kenyataan itu.
Yeoh yang juga Duta Global Keselamatan Jalan Raya yang diselaraskan FIA melawat Nepal pada 23 April lepas untuk menyertai Kongres Sukan Serantau Asia anjuran FIA. – BERNAMA