fbpx

Mata Kanan Kabur, Radhi OAG Gigih Kumpul Wang Untuk Pembedahan

Lama rasanya tak dengar cerita tentang penyanyi kumpulan OAG, Radhi. Baru-baru ini, Radhi memaklumkan mata kanannya berdepan masalah penglihatan akibat katarak.

Menurut Radhi, dia mula perasan mata kanannya tidak dapat berfungsi dengan baik sekitar Mac lalu. Ujarnya lagi, dia kini sedang berusaha mengumpul wang untuk kos pembedahan dianggarkan sebanyak RM3,000.

BACA: Hampir Murung Lepas Bercerai, Radhi OAG Sertai Tabligh

“Tiba-tiba penglihatan mata kanan saya jadi gelap dan kabur. Saya juga tidak dapat mengawal keseimbangan badan ketika berdiri dan memegang barang.

“Jadi saya dapatkan rawatan di hospital dan doktor memberitahu saya mengalami masalah katarak selain perlu menjalani pembedahan.

“Dianggarkan kos pembedahan itu sebanyak RM3,000. Jadi sekarang saya sedang usaha mengumpul wang secepat mungkin kerana bimbang masalah lain timbul,” katanya kepada Harian Metro.

Menganggap apa yang berlaku adalah satu petunjuk daripada Allah supaya dia menjadi insan yang lebih baik, Radhi memohon kepada para peminatnya untuk mendoakan keadaan matanya kembali pulih dan mahu menjalani kehidupan yang diredai.

“Saya anggap penyakit ini satu hadiah daripada Allah. Mungkin Dia nak beritahu saya, kalau masih teruskan kehidupan begitu (masa lampau), masa depan saya boleh gelap.

“Doakan semoga mata kanan saya kembali normal supaya saya dapat menikmati kehidupan dengan jalan yang baik dan diredai,” katanya.