fbpx

Masih Boleh Hamil, Tapi Mas Idayu Tak Mahu

Hampir tiga bulan mendirikan rumah tangga, penyanyi dangdut Mas Idayu berkata dia mengelak untuk hamil meskipun berpeluang untuk menimang cahaya mata lagi memandangkan usianya sudah mencecah 50 tahun.

Memetik Harian Metro, Mas Idayu berkata dia mengakui masih subur namun tidak mahu mengambil risiko yang boleh membahayakan kesihatan kerana dia berkahwin untuk gembira bukan untuk sakit.

BACA: Hampir 3 Bulan Kahwin, Suami Dedah Jarang Dapat Jumpa Mas Idayu

“Dari dulu lagi saya nak anak lelaki dan saya sukakan kanak-kanak. Namun, di usia sekarang ini saya perlu elakkan daripada terdedah dengan risiko yang boleh membahayakan diri.

“Bukan peluang (hamil) itu tiada, tapi saya sedikit menghalang supaya saya kekal sihat. Lagipun saya kahwin ini untuk gembira, bahagia serta saling menjaga antara satu sama lain. Bukan kahwin untuk sakit.

“Alhamdulillah suami pun faham dan dia sendiri mengaku jika saya hamil akan membahayakan diri saya,” katanya.

Tidak menolak rezeki daripada Allah, bagaiamanapun Mas Idayu berkata dia sebolehnya enggan hamil jika perkara itu boleh dirancang serta memikirkan risiko perlu dihadapi.

“Bayangkan kalau saya dikurniakan anak, dengan usia yang semakin bertambah dan tua serta risiko lain yang perlu saya hadap.

“Macam mana saya nak jaga anak. Kalau saya tiada macam mana? Banyak faktor yang kami berdua fikir, tapi kami tak pernah menolak rezeki Allah,” katanya.

Mas Idayu bernikah kali kedua dengan Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa pada 16 September lalu.

Terdahulu, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Aman Graseka pada 1997 tetapi bercerai pada 2006. Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan,Nur Dayini Ashiqah kini berusia 25 tahun.