fbpx

Malaysia Techlympics 2024 Zon Selatan Catat Penyertaan 1,350 Peserta

BATU PAHAT, 12 September 2024 – Semangat untuk mendorong minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) semakin memuncak melalui acara Malaysia Techlympics 2024.

Inisiatif anjuran Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu platform untuk menyuntik budaya berinovasi, berfikir secara kritikal, dan meneroka kemahiran yang lebih tinggi dalam kalangan belia negara.

Bagi Zon Selatan, penganjuran kali ini diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor, berjaya mengumpulkan seramai 1,350 peserta dari Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan. Para peserta ini bersaing hebat dalam pelbagai cabaran teknologi untuk melayakkan diri ke peringkat kebangsaan, yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya pada November 2024.

Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Bin Hassim, dalam ucapan perasmiannya, menekankan bahawa Malaysia Techlympics adalah bukan sekadar pertandingan tetapi lebih kepada kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Matlamat utama adalah pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) melalui pendekatan yang lebih praktikal dan menyeronokkan. Ini memberikan peluang kepada semua, tanpa mengira umur, jantina, dan bangsa untuk meneroka potensi mereka dalam bidang ini,” katanya.

Apa yang menjadikan Malaysia Techlympics 2024 lebih menarik ialah tawaran aktiviti dan pertandingan yang dirancang khas untuk memupuk minat terhadap STI di samping mencungkil bakat dan menggalakan penghasilan idea-idea yang lebih berinovasi. Peserta yang terlibat juga meliputi pelajar dari peringkat sekolah rendah, menengah, serta belia berusia antara 18 hingga 40 tahun.

Fokus yang diberikan adalah selaras dengan kepentingan teknologi dalam pembangunan negara, acara-acara yang diadakan juga menampilkan pelbagai bidang teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, pengekodan, dron, dan pengkomputeran. Aspek-aspek ini dilihat sebagai kunci utama untuk menyediakan golongan muda dengan pendedahan awal terhadap dunia teknologi yang berkembang pesat.

Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); YB Datuk Fairul Nizam bin Roslan, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka; YBhg. Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); YBrs. Dr. Sharmila binti Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM); serta Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan, Negeri dan Daerah Batu Pahat, yang hadir bagi menyokong para peserta program.

Selaras dengan itu, (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), turut memperkenalkan inisiatif Ruang Daya Cipta (RDC) bertujuan memberi akses kepada peralatan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) kepada komuniti dengan lebih dekat.

YIM turut berjaya membangunkan 17 RDC di seluruh negara. Ini termasuk tiga (3) pusat di Sabah dan Johor, dua (2) di Perak, Pahang, dan Sarawak, serta satu (1) di negeri lain seperti Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Selangor. RDC berperanan penting dalam memupuk inovasi di peringkat komuniti dan memberikan peluang kepada masyarakat untuk meneroka teknologi secara langsung.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia Techlympics, boleh layari laman web rasmi di www.mytechlympics.com.