Malaysia mahu memperkukuh jaringan e-dagang rentas sempadan dengan China bagi membuka lebih banyak laluan kepada produk tempatan menembusi pasaran republik itu secara langsung.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu penting bagi membolehkan lebih banyak produk berkualiti tinggi Malaysia sampai kepada pengguna China, selain memperluas peluang perniagaan usahawan tempatan.
Katanya, potensi berkenaan turut diterokai menerusi kunjungannya ke Alibaba Group ketika berada di Guangzhou bagi melihat bagaimana kemajuan ekosistem e-dagang China boleh dimanfaatkan oleh perniagaan Malaysia.
“Banyak produk Malaysia sudah mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna China, termasuk durian, sarang burung, kopi putih, kraftangan dan batik.
“Justeru, kita mahu membina momentum ini melalui hubungan e-dagang yang lebih kukuh supaya lebih banyak produk Malaysia yang berkualiti dapat menembusi pasaran China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian China International Small and Medium Enterprises Fair (CISMEF) Ke-21 dan Majlis Pembukaan Pavilion Malaysia di Guangzhou.
Steven Sim kini berada di Guangzhou bagi mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC (APEC SME MM) Ke-32, selain mengetuai delegasi negara dalam misi perdagangan khas yang turut merangkumi penyertaan di CISMEF.
Dalam misi perdagangan berkenaan, Steven mengetuai penyertaan 12 syarikat dan delegasi Malaysia di CISMEF yang mewakili sektor makanan dan produk kesihatan.

STEVEN Sim bersama sebahagian delegasi malaysia di Pavilion Malaysia sempena CISMEF
Menurut Steven Sim, hubungan e-dagang rentas sempadan juga perlu berkembang secara seimbang dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, bukan sekadar membuka akses produk China kepada pengguna Malaysia.
Sebaliknya, tegas beliau, lebih banyak ruang perlu diwujudkan supaya produk Malaysia turut mempunyai akses lebih besar ke pasaran China.
“Ini bukan sekadar mengenai perdagangan, tetapi tentang membuka peluang baharu kepada usahawan kita untuk berkembang, bersaing dan menembusi pasaran global,” katanya.
Sementara itu, Steven Sim berkata, penyertaan dalam CISMEF bukan sahaja mengetengahkan inovasi, kualiti dan daya saing jenama Malaysia, malah mencerminkan potensi hampir 1.3 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.
“Jika Delta Sungai Mutiara yang menempatkan Guangzhou dikenali sebagai ‘Factory of the World’, manakala Malaysia dikenali sebagai ‘Crossroads of Asia’, maka kita juga mempunyai potensi untuk muncul sebagai ‘Boutique of the World’ dengan menawarkan produk yang unik, kreatif dan berkualiti tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan prestasi eksport PMKS turut mencatat perkembangan positif apabila nilainya mencecah RM214.5 bilion pada 2025, meningkat 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menyumbang hampir 15 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
“PMKS kita sudah membuktikan bahawa mereka mampu bersaing di peringkat global. Langkah seterusnya adalah memastikan lebih banyak akses, platform dan saluran pasaran disediakan supaya mereka dapat berkembang dan pergi lebih jauh,” katanya.