Malaysia mencatat lonjakan membanggakan apabila naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (World Competitiveness Ranking – WCR) 2025, berbanding tempat ke-34 pada tahun sebelumnya.
Laporan komprehensif tersebut diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) berpangkalan di Switzerland, yang setiap tahun menilai sejauh mana sesebuah negara mampu menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan untuk kemakmuran jangka panjang.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pencapaian terbaharu ini merupakan yang terbaik dicatat negara sejak tahun 2020.
“Ia mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang konsisten, sekali gus mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033 seperti disasarkan oleh Kerangka Ekonomi MADANI,” kata kenyataan MITI.

Lonjakan Malaysia dalam WCR 2025 mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi.
Mengulas lanjut MITI berkata, lonjakan prestasi negara dipacu oleh peningkatan ketara dalam tiga faktor utama iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan.
Faktor Prestasi Ekonomi melonjak empat anak tangga ke kedudukan ke-4 terbaik berbanding tempat ke-8 tahun lepas, jelasnya.
“Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan kedua-duanya meningkat 8 anak tangga.
“Sub-faktor Perdagangan Antarabangsa melonjak 11 anak tangga ke tempat ke-6 berbanding kedudukan ke-17 tahun lepas, berikutan pertumbuhan rancak eksport barang dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran dan peningkatan terimaan pelancongan, sekali gus memantapkan lebihan dagangan negara,” katanya.
MITI juga menjelaskan, Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memainkan peranan penting dalam menyelaras strategi daya saing merentas kementerian sekaligus memperkukuh ekosistem agenda daya saing negara.
“Di peringkat operasi, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memastikan pelaksanaan berkesan dalam peningkatan daya saing, termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) selari dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA),” tambah kenyataan itu.

Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata peningkatan daya saing Malaysia menunjukkan pembaharuan yang dibuat bukan sekadar retorik, sebaliknya memberi kesan nyata terhadap tarikan pelaburan.
“Peningkatan daya saing negara sebanyak 11 anak tangga di kedudukan ke-23 berbanding tempat ke-34 tahun lepas mencerminkan bahawa faktor-faktor birokrasi saling berkait dengan, antara lainnya, pelaburan dan pembangunan industri – kedua-duanya penting bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.
“Pendekatan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan daya saing berdasarkan prinsip whole-of-government juga membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam memacu penambahbaikan dan pembaharuan struktur di Malaysia secara menyeluruh,” katanya.
MITI menegaskan, dengan tadbir urus kukuh dan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk industri, Malaysia berada pada landasan tepat untuk melonjak ke kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033.