Majlis Media Malaysia Perkasa Kebebasan Dan Akauntabiliti Media

Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 merupakan peristiwa penting yang akan memperkasakan kebebasan dan akauntabiliti media negara ini.

Dengan kewujudan MMM, profesionalisme pengamal media ditingkatkan sekaligus memberi jaminan kepada masyarakat bahawa etika kewartawanan akan terus dipelihara.

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo berkata, hal ini kerana pengamal media akan dipastikan mematuhi piawaian kelakuan tertinggi, menjaga kepercayaan orang ramai dan integriti profesion.

Ronnie Teo

“Majlis ini yang pertama kali dicadangkan pada tahun 1973 oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein membuktikan kesungguhan pihak berkepentingan dalam memperkukuh landskap media negara.

“Penubuhan majlis media bukan sekadar kemenangan untuk kebebasan media tetapi satu langkah ke arah masyarakat yang lebih berpengetahuan dan diperkasa,” katanya.

Sementara itu, Ronnie berkata KDJA mengalu-alukan langkah mewajibkan wakil media dari Sabah dan Sarawak dalam barisan Ahli Lembaga MMM.

Tegasnya, perwakilan inklusif itu akan membawa pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani cabaran serta keperluan media di kedua-dua wilayah yang berbeza dengan media di Semenanjung.

Dengan keterangkuman sedemikian katanya, suara dan perspektif media di Malaysia Timur tidak diketepikan, sekali gus mengeratkan jalinan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam ekosistem media negara.

“Kepelbagaian perwakilan ini akan menyumbang kepada pendekatan yang lebih holistik dan seimbang dalam menangani keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh profesional media di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Kami menantikan proses pemilihan ahli lembaga yang bakal menerajui badan ini serta mekanisme yang akan diguna bagi memastikan standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab terus dipertahankan,” katanya.

Untuk rekod, RUU tersebut menetapkan setiap kategori ahli lembaganya harus merangkumi sekurang-kurangnya seorang wakil dari Sabah atau Sarawak.

Ronnie dalam pada itu merakamkan penghargaan KDJA secara kolektif kepada Kementerian Komunikasi dan Kerajaan MADANI atas komitmen tidak berbelah bahagi untuk menubuhkan sebuah badan yang menjunjung tinggi etika dan standard kewartawanan yang bertanggungjawab.

Idea penubuhan majlis media sejak puluhan tahun lalu itu akhirnya sah menjadi kenyataan apabila RUU MMM 2024 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan perkara itu sebagai kemenangan besar untuk kebebasan media di Malaysia.

Beliau berkata, ini adalah saat bersejarah buat industri media memandangkan cadangan rang undang-undang itu mula diutarakan pada 1973, iaitu kira-kira 52 tahun lepas.

Usaha untuk merealisasikannya mendapat momentum besar pada awal 2023 sewaktu Fahmi menerajui Kementerian Komunikasi.

Lebih istimewa ialah bagaimana Kementerian Komunikasi melibatkan pengamal media sendiri khususnya melalui Jawatankuasa Pro-Tem untuk mengumpul input-input penggubalan RUU MMM 2024.

Fahmi Fadzil dan Teo Nie Ching bersama Pro-Tem Majlis Media Malaysia dan Editor-Editor Kanan

Dengan kata lain, RUU itu mewakili aspirasi fraterniti media sendiri, bukannya mengikut selera dan kehendak kerajaan semata-mata.

Melalui RUU itu, fungsi MMM akan diperkasakan untuk menetapkan piawaian, mewujudkan kod etika untuk pengamal media dan mempromosikan piawaian tertinggi dalam kewartawanan beretika, kebebasan media, serta hak-hak profesional media.

Dengan cara itu, majlis berkenaan akan mengawal etika dan tingkah laku profesional pengamal media sekaligus membuka laluan kepada pengawalan kendiri dan tidak lagi terikat kepada campur tangan kerajaan.

Sebarang rungutan, aduan, ketidakpuasan hati dan perkara yang memerlukan resolusi berkaitan pelaporan media akan diuruskan dan diselesaikan melalui MMM.

Ia tidak perlu lagi melalui sistem siasatan jenayah atau tindakan saman yang memerlukan belanja besar sebagaimana amalan pada masa ini.

MMM juga berupaya mencadangkan pembaharuan berkaitan undang-undang kebebasan media di samping menyelaras dan memudahkan peranannya dalam latihan dan pembangunan profesional wartawan.

Fungsi-fungsi ini pastinya akan memberikan manfaat yang besar kepada industri media tempatan sekaligus membantu Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia.

Pun begitu, pengkritik turut mebangkitkan kebimbangan MMM tidak benar-benar bebas kerana Seksyen 8(1)(b) dalam RUU penubuhannya mewajibkan pelantikan dua wakil kerajaan ke dalam ahli lembaga majlis yang berjumlah 21 orang.

Namun Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching ketika menggulung ucapan sebelum RUU diluluskan menjelaskan wakil kerajaan itu juga dari kalangan agensi media seperti RTM dan Bernama.

Katanya, dua wakil kerajaan daripada 21 orang ahli lembaga adalah peratusan kecil.

Teo Nie Ching sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Rakyat

“Mengatakan bahawa MMM tidak lagi bebas hanya kerana dua wakil ini adalah memandang rendah integriti ahli lembaga pengarah lain termasuk pengamal media, pemimpin industri dan ahli akademik,” katanya.