Bulan lalu, kecoh seketika apabila penyanyi yang juga merupakan juara Juara Gegar Vaganza musim keempat, Aishah mendakwa bahawa hadiah seutas rantai bernilai RM80,000 pemberian Datuk Seri Vida kepadanya adalah palsu.
Terbaru, Datuk Seri Aliff Syukri yang merupakan penaja utama Gegar Vaganza 5 meluahkan hasratnya untuk mempertemukan Aishah dan Vida bagi membantu menyelesaikan kemelut berhubung isu penajaan hadiah.
BACA: Isu Hadiah, Aishah Mahu Saman Datuk Seri Vida?
“Walaupun tidak terlibat dalam permasalahan ini, namun saya terpanggil untuk masuk campur dan menawarkan bantuan kerana kedua-duanya adalah kenalan baik saya dan mahu menjernihkan hubungan mereka.
“Saya sudah pun berbincang dengan Astro mengenai hal ini dan butir perbincangan akan dimaklumkan kepada umum usai pertemuan tersebut diadakan kelak,” katanya.
Dalam masa sama, Aliff menegaskan tindakannya itu bukanlah untuk mencetuskan gimik atau pun untuk melariskan produknya, tetapi niat beliau hanya mahu melihat mereka berdua berbaik dan menjernihkan semula hubungan.
“Saya tidak berniat menunjukkan diri ini seperti malaikat, cuma membantu sekadar yang termampu. Sebagai penaja utama program besar seperti ini, jika permasalahan ini tidak diselesaikan dengan baik, barang kali secara tidak langsung akan menjejaskan nama baik syarikat saya. Jadi, inilah peluang terbaik untuk dimanfaatkan bersama agar kekeruhan itu dapat dijernihkan kembali,” ujarnya.
Apa pun diharap niat baik Aliff Syukri itu dipermudahkan. Lebih baik jika mereka dipertemukan dan membincangkan perkara tersebut secara baik agar kemelut yang berlaku tidak berpanjangan.