fbpx

Mahu Ditarik Balik Kenyataan Anak Derhaka, Afiq Muiz Sedia Mohon Maaf

Sebagai anak, memohon maaf kepada orang tua apatah lagi seorang ibu adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut masalah keluarga yang berlaku kepada Afiq Muiz dan juga ibunya, Hasliza Mohd.

Itu adalah perkara yang sepatutnya dilakukan sejak awal lagi oleh Afiq namun begitu dia memohon agar kenyataan yang mengatakan dia adalah anak derhaka ditarik balik.

“Selepas keluar cerita saya ini anak derhaka saya sudah merasakan tiada apa yang tinggal kerana banyak stesen TV yang sudah banned saya dan tiada tawaran kerja sehinggakan saya tidak mampu untuk menyara diri dan membayar duit rumah sewa.”

Bercakap dengan salah seorang ahli keluarga Afiq yang juga datuk saudaranya, Jalal Abidin, 64, memberitahu tujuan dia memanggil pihak media adalah untuk menjernihkan keadaan dan cari jalan untuk berdamai.

“Saya mohon demi kebaikan karier seni Afiq dan juga perhubungan di antara keluarga Afiq sendiri agar emak dan juga bapa Afiq supaya berbincang secara baik dan cuba mencari jalan penyelesaian agar perkara ini tidak berlanjutan,” ujarnya yang ditemui di Keramat, siang tadi.

Sebagai orang yang lebih tua dia tidak mahu karier seni Afiq rosak disebabkan cerita buruk yang keluar selepas beberapa kenyataan yang dibuat oleh ibunya baru-baru ini.

“Apa yang dikatakan oleh emak Afiq itu adalah tidak benar dan kami sebagai salah seorang ahli keluarga Afiq memohon agar masing-masing memberi kerjasama dan turunkan ego agar keadaan kembali tenang.”

“Ibu bapa Afiq masih lagi bersama namun sudah tidak tinggal sebumbung dan bapanya juga amat sibuk sehingga tidak dapat hadir ke majlis pada hari ini untuk sama-sama menjawab segala pertanyaan mengenai kedudukan sebenar ibu bapa Afiq.”

Selepas insiden perbalahan dan campur tangan pihak ketiga, Afiq yang turut ditemui siang tadi memberitahu bahawa dia kini sudah tiada apa-apa melainkan duit simpanan yang tinggal untuk meneruskan kehidupan.

Afiq turut menambah bahawa dia sendiri tidak mahu mengeruhkan keadaan namun begitu memohon emaknya agar menarik balik kenyataan mengatakan bahawa dia seorang anak derhaka dan sebagai seorang anak bersedia untuk memohon maaf diatas apa yang telah berlaku.

“Saya mahu emak saya menarik balik kenyataan yang dia buat mengatakan saya anak derhaka dan sebagainya menyebabkan nama saya rosak sehingga dilabel masyarakat barulah saya akan memohon maaf kepadanya.”

Walaubagaimanapun Afiq memberitahu dia ada berusaha untuk menghubungi emaknya selepas kejadian tersebut namun tidak berjawab.

Jika ada yang mengatakan Afiq lupa daratan dan sudah lupakan keluarga selepas menjadi popular Afiq turut sertakan bukti bil yang dibayar untuk keperluan ibu dan adik beradiknya.

“Setiap bulan saya ada bagi emak saya duit dan perabot di rumah kami pun saya yang belikan, jika orang di luar sana nak cakap saya tidak jalankan tanggungjawab sebagai seorang anak adalah tidak benar.”

Hati emak mana yang tidak akan berlembut dengan anaknya jika dia datang secara ikhlas untuk memohon maaf bukan?