fbpx

Mahkamah Perintah Yasin Dirujuk Ke Hospital Bahagia

Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman diperintah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian kesihatan mentalnya.

Memetik Kosmo, Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

BACA: Berat Badan Tinggal 48 Kg, Yasin Sulaiman Derita Tiriod

Difahamkan, mahkamah telah menetapkan tarikh 22 Jun depan bagi laporan psikiatri tersebut.

Terdahulu, semasa prosiding peguam yang mewakili Yasin memaklumkan pihaknya mempunyai asas yang kuat agar kesihatan mental Yasin diperiksa oleh pakar psikiatri.

Tambahnya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya itu.

Selain itu, pihak pembelaan turut mengemukakan lima laporan perubatan mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

“Laporan terkini yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mohamad Amin memaklumkan pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan tersebut.

Terdahulu, Yasin gagal dalam permohonan representasi ketiganya untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi pada 15 Mac lalu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak permohonan yang dikemukakan Yasin berhubung ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Yasin menghadapi tiga pertuduhan iaitu didakwa milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram, didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis dan didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’.